Ikuti Kami:

Tuah Pelajar Panjat Pokok Jawab Peperiksaan, Yayasan Nur Jauhar Beri Sumbangan

Tuah Pelajar Panjat Pokok Jawab Peperiksaan, Yayasan Nur Jauhar Beri Sumbangan

Tuah pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibinang, 19 tular di media sosial baru-baru ini mendapat sumbangan dari Yayasan Nur Jauhar.

Sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M. Jasni selaku penasihat Yayasan Nur Jauhar di Istana Negeri yang turut dihadiri Naib Canselor UMS Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin di sini.

BACA : Gigih Pelajar Sabah Ini Panjat Pokok Jawab Peperiksaan Online

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Naib Canselor UMS Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata pihak pengurusan UMS telah bersetuju menyediakan biasiswa sekiranya Veveonah ditawarkan melanjutkan pengajian dalam program ijazah sarjana muda di universiti berkenaan.

“Kita harap beliau akan mengharungi cabaran menuntut ilmu dengan baik dan semoga dia cemerlang dalam akademik sekali gus mendapat pekerjaan baik kelak,” katanya.

Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut mengumumkan rancangan untuk membina menara telekomunikasi di Kg Bilangau Kecil, Pitas untuk menambah baik liputan internet di kawasan sekitar selepas tular video berkenaan.

BACA : Jawab Peperiksaan Atas Pokok, SKMM Akan Bina Menara Komunikasi

Mengakui video itu hanya sekadar suka-suka, Veveonah tidak menyangka ia akan tular dan merasa gembira serta berterima kasih atas perhatian pihak berkaitan yang mengambil tindakan susulan menyediakan kemudahan internet di kampungnya.

“Pertama sekali saya buat video itu hanya sekadar suka-suka selain ingin berkongsi pengalaman bagaimana saya menjawab peperiksaan dalam talian. Saya berterima kasih sekiranya ada pihak mengambil tindakan untuk kemajuan di kampung saya dengan membina menara telekomunikasi dan ini adalah harapan saya kerana internet sangat penting pada masa sekarang,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Veveonah yang bercita-cita menjadi seorang guru atau pensyarah itu menjadikan ibu dan bapanya, yang bekerja sebagai petani sebagai pendorong untuk terus berjaya, selain berharap bidang pendidikan akan mengubah kehidupannya bersama keluarga.

Foto : Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Komen
Loading...