Ikuti Kami:

Jawab Peperiksaan Atas Pokok, SKMM Akan Bina Menara Komunikasi

Jawab Peperiksaan Atas Pokok, SKMM Akan Bina Menara Komunikasi

Sejak tular video seorang pelajar Sabah, Veveonah Mosibin memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet, rata-rata netizen berharap pihak yang bertanggungjawab tampil menyelesaikan masalah rangkaian internet di kawasan itu bagi memastikan pendidikan gadis itu tidak terjejas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan satu menara telekomunikasi akan dibina di bawah Pelan Gantian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1, yang dijangka siap menjelang suku kedua tahun 2021.

Memetik laporan Bernama, SKMM merancang untuk membina sebuah menara telekomunikasi baharu di Kampung Bilangau Kecil yang terletak berhampiran dengan kampung Veveonah.

“…ia boleh dioptimum untuk meningkatkan liputan di Kampung Sapatalang sejurus siap didirikan. Bagi memberi liputan yang lebih berkualiti di sekitar kawasan itu, SKMM juga telah membuat perancangan untuk menaik taraf liputan kepada 4G di bawah program Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP), sejak awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan itu.

“Berdasarkan laporan yang diperolehi, terdapat sebuah menara telekomunikasi yang memberi liputan 3G dalam lingkungan 1.4 kilometer (km), dari kampung pelajar berkenaan.

“Liputan 3G itu, membolehkan pelajar mengambil peperiksaan secara dalam talian, manakala bagi tujuan aktiviti penstriman pula, ia memerlukan liputan yang lebih tinggi,” katanya.

Terbaru pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dikunjungi oleh beberapa kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas di kampungnya semalam.

PPD Pitas turut memuji kesungguhan dan semangat remaja berusia 18 tahun itu dalam menuntut ilmu walaupun menghadapi masalah capaian internet.

“Terbaik semangat adik Veveonah dalam menghadapi situasi menjawab peperiksaan secara atas talian dalam keadaan kawasan yang tidak kuat capaian Internet. Semoga adik Veveonah akan terus cemerlang dan bersemangat.” tulisnya.

BACA : Gigih Pelajar Sabah Ini Panjat Pokok Jawab Peperiksaan Online

Komen
Loading...