Ikuti Kami:

Amy Search Dikecam Gagal Nyanyikan Lagu Pawana, Tetap Tenang Hadapi Kritikan

Amy Search Dikecam Gagal Nyanyikan Lagu Pawana, Tetap Tenang Hadapi Kritikan

KUALA LUMPUR: Datuk Amy, vokalis kumpulan Search, menjadi sasaran kecaman netizen selepas video persembahannya menyanyikan lagu “Pawana” di Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur tular di media sosial.

Ramai yang mendakwa Amy, 66, gagal membawakan lagu tersebut dengan baik, mencetuskan pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

Namun, Amy kekal tenang menghadapi kritikan tersebut. Beliau mengakui tidak membaca semua komen yang ditulis netizen dan menganggap kecaman sebagai sesuatu yang sudah biasa dalam perjalanan kariernya selama lebih empat dekad.

“Mereka bertanggungjawab atas apa yang mereka tulis dan komen. Saya ampun dan maafkan mereka dari hati yang paling dalam. Semoga Allah kurniakan yang terbaik buat mereka, malah lebih baik daripada aku,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Kritikan terhadap persembahannya mula timbul selepas segelintir peminat kecewa dengan kualiti nyanyian Amy dalam lagu ikonik “Pawana”, yang disampaikan dalam sebuah konsert di Mega Star Arena, Sabtu lalu.

Amy turut menegaskan bahawa sebagai seorang artis, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak.

Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur berjaya menarik lebih 3,000 penonton, menggabungkan muzik rock & roll kumpulan itu dengan iringan orkestra yang dipimpin oleh Datuk Mokhzani Ismail. Mereka juga bekerjasama dengan penggubah muzik antarabangsa, Rie Tsuji, yang pernah bekerja dengan Beyonce.

Komen
Loading...