Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, mengalu-alukan keputusan kerajaan tidak mewajibkan penjarakan sosial dalam penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat, berkata menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bukti menunjukkan risiko jangkitan dalam pesawat adalah sangat rendah.
“Pesawat telah dilengkapi dengan ciri-ciri yang dapat mengurangkan risiko jangkitan dalam pesawat seperti penapis Udara Berzarah Kecekapan Tinggi (HEPA) yang memastikan udara dalam pesawat sentiasa bersih.
“Tahap kebersihan ini setaraf dengan kualiti udara dalam bilik pembedahan di hospital,” katanya kepada BERNAMA.
Artikel Berkaitan
Katanya, AirAsia turut menyambut baik pembukaan semula perjalanan domestik susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini dan insentif seperti pelepasan cukai pendapatan RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik hingga Disember 2021.
“Berpegang teguh kepada slogan kami, ‘Now Everyone Can Fly’, kami dengan besar hati menyokong usaha kerajaan dengan melancarkan Pas Tanpa Had untuk merangsang dan menghidupkan semula pelancongan domestik Malaysia,” katanya.
Pada 7 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan beberapa kelonggaran yang dibenarkan kepada rakyat di bawah PKPP termasuk perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun.
BACA : Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Hingga 31 Ogos 2020
Foto : AirAsia