Ikuti Kami:

Gigih Pelajar Sabah Ini Panjat Pokok Jawab Peperiksaan Online

Gigih Pelajar Sabah Ini Panjat Pokok Jawab Peperiksaan Online

Gigih seorang pelajar Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah ini panjat pokok demi mendapatkan akses internet bagi menduduki peperiksaan yang dijalankan secara atas talian.

Video yang berdurasi 11 minit 21 saat itu memaparkan Veveonah perlu memanjat pokok untuk mendapatkan talian internet yang lancar ketika peperiksaannya yang berlangsung secara dalam talian pada 9 Jun lalu.

Dalam video tersebut, dia menceritakan bagaimana dia terfikir untuk melakukan perkara itu setelah pondok yang dibinanya di atas bukit bagi tujuan persediaan menghadapi peperiksaan itu, rosak akibat cuaca buruk.

Veveonah terkejut apabila melihat ia telah rosak kerana sudah lama tidak menjenguk pondok tersebut, kerana membantu ibu bapanya menoreh getah.

Berbekalkan kelambu, telefon bimbit, power bank, sebotol air dan beberapa bungkus nasi serta peralatan untuk menjawab peperiksaan, Veveonah berada di atas pokok tersebut dalam tempoh 24 jam dari jam 7.30 pagi.

Dia berada dalam kelambu di atas pokok itu pada waktu malam dengan berbekalkan lampu telefon bimbit.

Dia mengambil peperiksaan bagi subjek Kimia pada sebelah pagi dan subjek Pengajian Malaysia pada sebelah petangnya.

Ketika berada di atas pokok itu, Veveonah juga terpaksa berdepan detik cemas apabila seekor tebuan tanah tersesat masuk ke dalam kelambunya.

“Agaknya tebuan ini tersesat. Ni kalau menggigit ni, memang sakit.” 

Setelah selesai menduduki peperiksaan pada sebelah petang, Veveonah tidak pulang sebaliknya kekal berada di atas pokok untuk tidur dan pulang pada keesokan paginya.

Veveonah  mula aktif sebagai YouTuber sejak April lalu, dan dia turut memuat naik video lain yang memaparkan perkongsian teknik cara hidup secara tradisional.

TERKINI : Jawab Peperiksaan Atas Pokok, SKKM Akan Bina Menara Komunikasi

Komen
Loading...