ZUS Coffee Kukuh Kedudukan di Asia Tenggara, Raih Pengiktirafan Putra Brand Awards
- oleh MDaily Editor
- 27 Jan 2026 2:39 pm
ZUS COFFEE memenangi Putra Brand Awards pertamanya baru-baru ini apabila merangkul emas dalam kategori Restoran & Kedai Makanan Segera.
ZUS Coffee, jenama kopi yang sedang berkembang pesat di rantau ini, melakar sejarah tersendiri apabila memenangi anugerah emas pertamanya di Putra Brand Awards bagi kategori Restoran & Kedai Makanan Segera, baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut, yang diundi sepenuhnya oleh pengguna, mencerminkan kepercayaan serta sokongan padu rakyat Malaysia terhadap visi jenama tempatan itu dalam menjadikan kopi istimewa sebagai minuman yang mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Putra Brand Awards, yang dikenali sebagai ‘Anugerah Pilihan Rakyat’, merupakan penanda aras utama industri di Malaysia kerana pemenangnya ditentukan melalui kajian selidik pengguna secara meluas di seluruh negara.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan ZUS Coffee, Venon Tian, berkata kemenangan sulung itu amat bermakna kerana ia merupakan manifestasi kepercayaan komuniti yang telah berkembang bersama jenama itu sejak penubuhannya.
“ZUS Coffee bermula sebagai sebuah kiosk tunggal dengan impian mudah untuk menjadikan kopi istimewa mudah diakses oleh rakyat Malaysia.
“Apa yang bermula sebagai jenama tempatan kini telah berkembang menjadi antara rangkaian paling pesat di Asia Tenggara dengan lebih 1,000 kedai di seluruh dunia. Pengiktirafan ini mengingatkan kami bahawa ZUS bukan sekadar tentang kopi, tetapi mengenai komuniti yang menyokong kami,” katanya.

ZUS COFFEE telah berkembang menjadi salah satu rangkaian yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan lebih daripada 1,000 kedai di seluruh dunia.
Kemenangan ini hadir ketika ZUS Coffee sedang memasuki fasa pertumbuhan agresif untuk menjadi pesaing global. Selain Malaysia, jenama itu kini telah melebarkan sayap ke Singapura, Filipina, Brunei, dan Thailand, serta bakal memulakan operasi di Indonesia dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai hala tuju masa depan, Venon menegaskan bahawa identiti Malaysia tetap menjadi teras utama biarpun jenama itu kini berada di pentas antarabangsa.
“Kami berbangga membawa identiti Malaysia ke peringkat global menerusi kolaborasi tempatan dan penyediaan menu yang memenuhi keperluan komuniti di setiap pasaran yang kami ceburi,” tambahnya.
Berbekalkan model perniagaan berteraskan teknologi menerusi aplikasi mudah alih dan rancangan pengembangan strategik menjelang akhir 2026, ZUS Coffee komited untuk terus membawa inovasi kopi dan pengalaman pelanggan terbaik ke peringkat dunia.




