Ikuti Kami:

Zul Ariffin Terokai Dunia Alih Suara, Akui Watak Archie Beri Pengalaman Baharu

Zul Ariffin Terokai Dunia Alih Suara, Akui Watak Archie Beri Pengalaman Baharu

Pelakon popular, Zul Ariffin, menyifatkan penglibatannya dalam menyumbang suara bagi watak animasi Archie dalam filem GOAT sebagai satu pengalaman ‘buka mata’ yang mencabar namun memuaskan.

Tampil buat kali pertama meminjamkan suara bagi watak animasi dalam bahasa Inggeris, Zul mengakui tugas tersebut bukanlah semudah yang disangka, apatah lagi perlu mengimbangi penanda aras yang telah ditetapkan oleh pelakon asal bagi versi antarabangsa, David Harbour.

Zul secara jujur mengakui bahawa bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertamanya, namun beliau menyahut cabaran itu demi memberikan kelainan buat peminat di Malaysia.

“Bagi saya, ini adalah sesuatu yang sangat mencabar. Saya memberitahu pasukan di studio supaya ‘berhati-hati’ dengan saya kerana ini adalah perkara yang baharu dalam kerjaya saya.

“Memandangkan watak Archie ini asalnya disuarakan oleh David Harbour, saya perlu memastikan lakonan suara saya tidak terlalu jauh lari daripada intonasi asal, namun tetap mempunyai identiti tersendiri,” katanya di majlis tayangan perdana GOAT Premiere Screening di GSC Mid
Valley Megamall pada Selasa.

Apa yang menarik, versi filem GOAT dengan alihan suara Zul Ariffin ini merupakan naskhah eksklusif yang hanya tersedia untuk pasaran Malaysia, memberikan nilai tambah unik buat penonton tempatan yang ingin melihat sisi berbeza pelakon aksi itu.

Pelakon Malam Terlarang itu turut memuji kerjasama erat pasukan produksi yang banyak membimbingnya sepanjang proses rakaman di studio.

“Sebagai pelakon, kita biasanya beraksi di depan kamera dan sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Tetapi sebagai pelakon suara, semuanya bergantung kepada emosi dalam vokal. Ia sukar, tetapi pasukan ini banyak membantu saya sehingga semuanya berjalan lancar,” tambahnya lagi.

Ditanya mengenai jangkaannya terhadap reaksi penonton, Zul lebih selesa bersikap rendah diri dan menyerahkan penilaian kepada peminat.

Beliau bagaimanapun tidak menolak sekiranya diberi peluang lagi untuk menerokai bidang alih suara pada masa hadapan.

Diterbitkan oleh legenda NBA, Stephen Curry, bersama pasukan kreatif di sebalik filem Spider-Man: Across the Spider-Verse, menjanjikan aksi yang mendebarkan dan penceritaan yang dekat di hati.

Filem GOAT sudah mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara, memaparkan aksi Archie yang kini ‘bernafas’ dengan suara maskulin Zul Ariffin dalam versi yang paling dinanti-nantikan tahun ini.

Loading...