Zul Ariffin Banggakan Malaysia, Jadi Suara Watak Archie Bagi Filem GOAT
- oleh MDaily Editor
- 5 Mar 2026 3:18 pm
Industri perfileman tanah air melakar satu lagi detik bersejarah apabila bintang aksi tersohor negara, Zul Ariffin, diumumkan sebagai suara bagi watak Archie dalam filem animasi antarabangsa yang amat dinantikan, GOAT.
Kolaborasi istimewa bersama Sony Pictures Malaysia ini menyaksikan Zul melangkah keluar dari zon selesa sebagai pelakon filem aksi lasak bagi menyahut cabaran baharu dalam dunia alih suara animasi berbahasa Inggeris.
Pencapaian ini menjadikan beliau pelakon Malaysia pertama yang menyumbangkan suara bagi watak dalam filem Hollywood untuk tayangan eksklusif di pawagam tempatan.

Bagi Zul, penglibatan dalam projek ini merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Beliau bakal menggantikan suara watak Archie—yang asalnya dilakonkan oleh bintang Stranger Things, David Harbour—khusus untuk versi edisi Malaysia.
“Ini adalah satu penghormatan besar buat saya. Walaupun saya sudah terbiasa dengan set penggambaran yang mencabar, memberikan ‘jiwa’ kepada watak animasi dalam bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang cukup berbeza dan membanggakan,” ujar beliau.
Sony Pictures Malaysia menjelaskan bahawa pemilihan Zul Ariffin adalah berdasarkan keserasian personaliti yang ketara antara aktor itu dengan watak Archie.

“Sejak awal lagi, kami melihat persamaan yang sangat kuat antara Zul dan watak Archie. Kedua-duanya memiliki personaliti yang bertenaga (powerful), aktif (sporty), dan aura yang dominan. Kerjasama ini adalah langkah kami untuk merapatkan jurang antara kualiti animasi Hollywood dengan jiwa penonton di Malaysia,” menurut kenyataan pihak Sony Pictures Malaysia.
Filem GOAT yang diterbitkan oleh legenda NBA, Stephen Curry, bersama pasukan kreatif di sebalik filem Spider-Man: Across the Spider-Verse, menjanjikan aksi yang mendebarkan dan penceritaan yang dekat di hati.
Peminat di Malaysia kini berpeluang menyaksikan sendiri kehebatan lakonan suara Zul Ariffin yang bakal memberikan impak berbeza kepada watak Archie.
Filem GOAT dijadualkan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 19 Mac 2026.




