Zul A.C.A.B Dikejarkan ke Hospital Akibat Serangan Jantung Ketika Konsert
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
Pemain dram kumpulan Oi! terkenal, A.C.A.B, Zul, dikejarkan ke hospital selepas tiba-tiba tumbang di atas pentas ketika konsert ulang tahun ke-30 kumpulan itu di Zepp Kuala Lumpur malam ini.
Insiden itu berlaku ketika Zul sedang memainkan lagu medley Racial Hatred, Violence, Unite & Fight, kira-kira 30 minit selepas konsert bermula.
Zul dipercayai mengalami serangan jantung dan segera diberikan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans yang tersedia di lokasi konsert.
Zul dilaporkan telah sedarkan diri dan stabil, dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
Konsert yang dinamakan 30th Anniversary : A.C.A.B Last Konsert ini adalah persembahan terakhir A.C.A.B sebelum kumpulan tersebut secara rasmi dibubarkan.
Konsert ini membawa nostalgia dengan barisan tiga line-up asal A.C.A.B yang pernah terlibat dengan album-album mereka.
Antara anggota yang terlibat termasuk Zul (drums), Black (drums), Hardy Sham (bass), Irfan (drums), Am Isa (keyboard), serta Mono (bass).
Selain itu, Megat Hafiz (gitar & vokal utama) , Edy (gitar & vokal) dan Andy (bass jemputan) turut melengkapkan persembahan malam ini.
Selepas insiden mencemaskan itu, konsert diteruskan kira-kira 20 minit kemudian dengan Irfan mengambil alih posisi dram, manakala Mono mengisi posisi bass.
Mereka meneruskan persembahan dengan set lagu dari album Melayu mereka, Bangkit, untuk menghidupkan kembali semangat konsert dan menghargai peminat setia yang hadir.
Pihak penganjur telah mengumumkan bahawa konsert ini telah habis dijual beberapa minggu yang lalu.
Konsert ini juga turut menampilkan Haymaker dari Prague sebagai pembuka acara, yang menambah kemeriahan suasana dengan persembahan mereka.
A.C.A.B, yang dikenali sebagai pelopor muzik Oi! dan punk rock di Malaysia, telah meninggalkan legasi besar dalam industri muzik tempatan.
Walaupun insiden tidak dijangka berlaku, peminat terus memberikan sokongan dan semangat sehingga ke penghujung persembahan.
Foto Oleh: Subky Haji Bebit.