Ikuti Kami:

Zombi Versi Evolusi: Yeon Sang-ho Kembali Dengan ‘COLONY’, Temui Penonton 22 Mei

Zombi Versi Evolusi: Yeon Sang-ho Kembali Dengan ‘COLONY’, Temui Penonton 22 Mei

Selepas mencetuskan fenomena global menerusi filem pecah panggung Train To Busan dan Peninsula, pengarah tersohor Korea Selatan, Yeon Sang-ho, kini kembali mempertaruhkan karya terbaharu yang dijangka mengubah landskap genre seram zombi dunia melalui filem COLONY.

Berbeza dengan naskhah terdahulu, COLONY memperkenalkan spesies zombi baharu yang lebih menggerunkan apabila makhluk tersebut digambarkan mempunyai keupayaan untuk berevolusi, bertindak secara berkumpulan serta belajar daripada persekitaran mereka.

Filem thriller ini membawa penonton menyelami ketegangan yang bermula daripada eksperimen seorang ahli biologi yang bercita-cita mempercepatkan evolusi manusia, namun berakhir dengan bencana luar kawalan.

Sang-ho dalam satu kenyataan berkata, naskhah kali ini bukan sekadar filem kelangsungan hidup (survival) biasa, sebaliknya ia menyentuh aspek identiti manusia dan ketakutan masyarakat moden terhadap ancaman yang sentiasa berubah.

“COLONY adalah sebuah refleksi bagaimana manusia bertindak apabila berhadapan dengan ancaman yang lebih pintar dan tidak dijangka,” katanya.

Selain plot yang mendebarkan, perhatian peminat filem antarabangsa turut terarah kepada barisan pelakon gred A yang menerajui naskhah ini.

Paling mencuri tumpuan adalah kemunculan bintang ternama, Gianna Jun (Jun Ji-hyun), yang menandakan kepulangan semula beliau ke layar perak selepas 11 tahun menyepi.

Filem ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran pelakon hebat lain seperti Koo Kyo-hwan, Ji Chang-wook, Shin Hyun-been, Kim Shin-rock dan Go Soo.

Bagi memastikan kualiti visual yang realistik, pihak produksi menggunakan khidmat lebih 20 penari profesional bagi mencipta gaya pergerakan zombi yang unik, termasuk aksi merangkak berkaki empat dan pergerakan tubuh yang berpintal di luar logik manusia.

Malah, bagi meningkatkan rasa cemas penonton, set penggambaran melibatkan bangunan 33 tingkat dibina mengikut saiz sebenar bagi merakam babak kejar-mengejar berskala besar.

COLONY yang menggabungkan elemen seram, aksi, dan suspens psikologi ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei ini.