Zizi Kirana Antara 8 Sukarelawan Malaysia Ditahan Israel, Nasib Ardel Masih Tidak Diketahui
- oleh MDaily Editor
- 2 Oct 2025 7:49 am

Penyanyi terkenal tanah air, Zizi Kirana, antara lapan sukarelawan Malaysia yang disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.
Selain Zizi, tujuh lagi sukarelawan yang ditahan ialah Zul Fadhli Khiruddin, Rusydi Ramli, Musa, Sul, Iylia Balqis, Haikal Abdullahi, dan Muaz. Mereka dipercayai menaiki kapal Alma, Huga dan Sirius yang ketika itu dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut kenyataan Sekretariat Nasional Catch Gaza (SNCC), kapal Alma dipintas pada jam 8.35 malam waktu Gaza semalam, manakala kapal Huga dan Sirius juga dilaporkan ditahan.
Namun, nasib dua lagi kapal iaitu Mikeno yang membawa pelakon Malaysia, Ardel dan Inana masih belum diketahui.
SNCC memaklumkan pihaknya kini berhubung dengan rangkaian antarabangsa untuk mendapatkan perkembangan lanjut dan menegaskan maklumat rasmi akan dikongsikan dari semasa ke semasa.
Misi GSF yang menghimpunkan ratusan aktivis antarabangsa bertujuan menghantar bekalan makanan, ubat-ubatan dan sokongan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza yang terus berdepan sekatan ketat rejim Zionis.
Terdahulu, 5 kapal dilaporkan terputus hubungan komunikasi dengan SNCC.