
Penyanyi terkenal Indonesia yang digelar Ratu Riff & Runs, Ziva Magnolya, hari ini melancarkan album keduanya yang bertajuk Merangkai, selepas dua tahun dinanti-nantikan oleh peminat.
Album yang memuatkan sembilan buah lagu berkonsepkan Pop RnB itu diterbitkan di bawah label Universal Music Indonesia.
Menurut Ziva, Merangkai adalah manifestasi sebenar dirinya sebagai seorang artis dan pemuzik.
“Album ini benar-benar mencerminkan diri saya. Sejak dahulu lagi saya sangat ingin menghasilkan album Pop RnB kerana saya amat menyukai muzik genre ini. Jadi boleh dikatakan, album ini benar-benar saya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Album Merangkai mengangkat tema cinta dari pelbagai sudut pandang, menjadikannya sebagai sebuah naratif menyeluruh yang saling berkaitan dari lagu ke lagu.
Tiga lagu daripada album ini iaitu Abadi, Wanita Biasa, dan Cukup telah pun dilancarkan sebagai single sebelum ini dan menerima sambutan hangat daripada peminat.
Ziva juga berkolaborasi dengan barisan produser terkemuka tanah air, antaranya Dony Manurung untuk lagu Intro, BIANCADIMAS untuk Tertarik Atau Baik, Trakast, Yafi Aria dan Stefanus LJ untuk Sesuka Hati, Ranbe untuk 200K, Belanegara Abe untuk Against All The Odds, S/EEK untuk Wanita Biasa dan Cukup, serta Laleilmanino untuk Kata Kata.
Salah satu kolaborasi yang paling dinanti-nantikan peminat ialah gandingan bersama Kaleb J menerusi lagu Against All The Odds, yang sudah lama menjadi impian peminat sejak 2021.
“Bekerjasama dengan produser hebat tanah air adalah satu penghormatan besar buat saya. Saya belajar banyak daripada mereka, dari aspek teknikal muzik hinggalah kepada selok-belok industri muzik,” ujar Ziva lagi.
Dari sudut visual, album ini turut menampilkan sentuhan seni eksklusif hasil kolaborasi bersama artis visual terkenal Diela Maharanie yang dikenali dengan gaya berwarna-warni dan ekspresif.
Ziva turut mempersembahkan video muzik untuk lagu Kata Kata serta video lirik untuk lagu-lagu lain dalam album ini. Menariknya, elemen ‘seram manja’ turut diselitkan dengan kemunculan watak ‘hantu’ dalam pendekatan yang tetap menghiburkan.
Semua visual ini diterbitkan oleh Athea Visual dan diarahkan oleh Ivan Saputra Alam.
“Ceritanya ringkas tapi menarik, tentang cinta yang belum kesampaian dari perspektif orang yang ‘ghosting’ orang lain,” jelas Ziva.
Beliau turut berharap agar album Merangkai dapat menjadi teman harian kepada pendengarnya. “Harapan saya, semoga album ini dapat diterima oleh ramai pendengar dan memberi semangat kepada sesiapa yang mendengarnya. Jadikan ia teman harian anda,” tambahnya.
Album ini memuatkan sembilan buah lagu iaitu Intro, Abadi, Tertarik Atau Baik, Sesuka Hati, 200K, Kata Kata, Against All The Odds (menampilkan Kaleb J), Wanita Biasa, dan Cukup.