Ziva Magnolya & Andmesh Kamaleng Janji Persembahan Istimewa Di Sabah
- oleh Mohd Indera
- 17 Jul 2025 12:49 pm

Dua bintang besar dari Indonesia, Ziva Magnolya dan Andmesh Kamaleng berjanji akan menghadiahkan persembahan paling istimewa buat peminat mereka di Sabah International Convention Centre (SICC) menerusi Konsert Festival Tentang Cinta yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos ini.
Menerusi penganjuran oleh Extreme Visionary Venture, konsert ini bukan sahaja menjadi platform mempersembahkan lagu-lagu cinta, malah turut menjadi medan buat kedua-dua penyanyi berbakat besar ini bertemu peminat setia mereka di Sabah buat kali pertama dan kedua.
Menurut Ziva Magnolya, ini merupakan penampilan sulungnya di Kota Kinabalu dan dia teruja untuk berkongsi momen istimewa bersama peminat.
“Ini pertama kali saya menyanyi di Kota Kinabalu dan saya sangat menghargai peluang yang diberikan. Saya janji akan buat persembahan sebaik mungkin untuk semua peminat yang hadir. Jangan lupa beli tiket dan jumpa kami 9 Ogos nanti,” katanya.
Bagi Andmesh Kamaleng pula, peluang kembali ke Sabah selepas kunjungan terdahulu dianggap satu pengalaman yang penuh makna kerana muzik, katanya, sentiasa menjadi jambatan mengeratkan hubungan antara sesama manusia.
“Ini kali kedua saya kembali ke Kota Kinabalu. Festival ini bukan sekadar tentang lagu cinta, tetapi tentang kasih sayang, kekeluargaan dan semangat yang kita kongsi bersama. Kami akan beri yang terbaik, bukan sahaja dari segi susunan muzik tetapi juga pengalaman buat semua yang hadir,” jelasnya.
Selain Ziva dan Andmesh, barisan artis popular seperti Ara Johari, Adira Suhaimi, Mary Grace dan Hael Husaini turut menghangatkan pentas dengan persembahan masing-masing.
Pengarah Urusan Extreme Visionary Venture, Julianah Ishak berkata pihaknya yakin konsert ini akan mendapat sambutan hangat, khususnya dari masyarakat Sabah dan negeri-negeri berdekatan.
“Kami mahu peminat Sabah merasai pengalaman konsert bertaraf antarabangsa, di mana bintang serantau berkongsi pentas. Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong penganjuran ini,” ujarnya.
Penganjuran Festival Tentang Cinta turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia sebagai sebahagian usaha memperkasa sektor pelancongan domestik menerusi acara hiburan berskala besar.
Tiket konsert ini boleh dibeli secara atas talian menerusi www.ticket2u.com.my dengan harga tiket ditawarkan pada RM158 hingga RM988 mengikut kategori.