Ikuti Kami:

Ziana Zain Jelaskan Kehadiran di SPRM: “Hanya untuk Membantu, Bukan Suspek”

Ziana Zain Jelaskan Kehadiran di SPRM: “Hanya untuk Membantu, Bukan Suspek”

Penyanyi tersohor, Ziana Zain, tampil memberi penjelasan berhubung kehadirannya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Ziana menegaskan bahawa dirinya hadir sebagai saksi untuk membantu siasatan, bukan sebagai suspek.

Menurutnya, beliau berada di pejabat SPRM selama dua hingga tiga jam bagi menjawab beberapa soalan berkaitan peranannya sebagai duta sebuah syarikat.

“SPRM sendiri menyatakan bahawa kami dipanggil untuk membantu siasatan, bukan sebagai suspek. Mereka hanya bertanya mengenai tempoh saya mengenali pihak berkaitan dan tugas saya sebagai duta. Itu sahaja,” katanya kepada media selepas Konsert Akhir Calpis Soda One In a Million pada malam Ahad.

Ziana, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 56, turut meluahkan rasa kesal terhadap spekulasi yang tidak berasas mengenai isu ini, termasuk dakwaan perbelanjaan yang dikatakan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Sebagai duta, tugas saya hanya menyanyi, membuat hantaran di media sosial, dan menghadiri acara. Angka besar yang disebut mungkin berkaitan dengan perbelanjaan keseluruhan yang melibatkan ramai pihak, bukan saya secara individu,” jelasnya.

Pelantun lagu Madah Berhelah itu juga memaklumkan bahawa siasatan SPRM terhadapnya serta tiga lagi duta lain telah selesai dari pihak mereka. Namun, beliau menyerahkan sepenuhnya urusan lanjut kepada SPRM.

“Alhamdulillah, bagi pihak saya, semuanya telah selesai. Jika kita tidak melakukan apa-apa kesalahan, tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya.

Ziana turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah percaya dengan khabar angin dan menghormati proses siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, siasatan mendapati bahawa selebriti dan artis terlibat menerima bayaran sehingga RM400,000 dalam tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat bagi tujuan promosi.

SPRM telah menjalankan operasi Ops Sky bagi membanteras kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi sekitar Lembah Klang, termasuk kediaman dan pejabat.

Sehingga kini, jumlah tangkapan mencecah 27 individu, terdiri daripada 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan, serta seorang orang awam.

Foto: Hibglam.

Komen
Loading...