Ikuti Kami:

Ziana, Anuar, Ernie & Syamel Bersatu Dalam “Empat Live In Kuala Lumpur 2025”

Ziana, Anuar, Ernie & Syamel Bersatu Dalam “Empat Live In Kuala Lumpur 2025”

Dunia hiburan tanah air bakal menyaksikan detik bersejarah apabila empat nama besar — Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel — bersatu di atas satu pentas menerusi konsert yang penuh makna, Empat Live In Kuala Lumpur 2025, yang bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Buat pertama kalinya, adik-beradik legenda Ziana dan Anuar Zain akan berkolaborasi dengan anak saudara mereka, Ernie Zakri, serta suaminya, Syamel — menjadikan “Empat” sebagai sebuah konsert keluarga paling dinanti dalam sejarah hiburan negara.

Dianjurkan oleh Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse, konsert ini merupakan hasil impian yang telah lama dirancang dan akhirnya direalisasikan setelah menanti masa yang sesuai.

“Tidak pernah terlintas bahawa saya, kakak saya Ziana, anak buah kami Ernie dan suaminya Syamel akan berdiri bersama atas satu pentas. Konsert ini adalah hadiah kepada peminat yang selama ini menyokong kami,” jelas Anuar Zain.

Ziana Zain pula menyifatkan konsert ini sebagai temasya istimewa untuk para peminat yang akan menikmati gabungan suara daripada dua generasi berbeza.

“Saya tak mahu berjanji bulan dan bintang, tetapi saya percaya momen ini akan jadi kenangan manis buat semua. Peminat bukan saja hadir untuk menyokong penyanyi kegemaran mereka, tapi meraikan kekuatan muzik tempatan,” katanya.

Ernie Zakri, yang membesar mengagumi perjuangan seni dua ikon tersebut, tidak dapat menahan rasa sebaknya ketika menerima pelawaan untuk bersama dalam konsert ini.

“Saya menangis apabila dilamar menyertai Empat. Ini impian saya sejak kecil, dan kini saya dapat berkongsi pentas dengan ibu dan bapa saudara saya yang saya sanjungi,” kata Ernie.

Syamel pula menyifatkan peluang ini sebagai lonjakan besar dalam kerjayanya.

“Saya anggap ini satu pengiktirafan besar. Energi kami berempat mampu melahirkan satu persembahan luar biasa,” ujar Syamel, yang turut teruja untuk beraksi dalam skala besar bersama nama-nama besar industri.

Konsert ini dikemudi oleh pengarah konsert berpengalaman Jennifer Thompson, manakala pengarah muzik Sze Wan akan mengemudi barisan pemuzik hebat tanah air.

Jennifer menjanjikan malam yang penuh magis, dengan persembahan yang merentasi empat dekad muzik dan pelbagai detik eksklusif untuk peminat.

“Konsert ini bukan sahaja menampilkan suara hebat, tetapi juga membawa nilai istimewa — ikatan kekeluargaan yang jarang dilihat dalam industri hiburan. Ia akan jadi pengalaman yang tak boleh dilepaskan,” jelas Jennifer.

Tiket konsert akan mula dijual pada 25 April 2025 jam 10.00 pagi di laman web https://www.ticket2u.com.my/empatkl.

Harga tiket bermula dari RM288 hingga RM2,088, termasuk kategori istimewa seperti VIP dan Royal Twin Seat. Golongan kelainan upaya (OKU) juga boleh mendapatkan tiket melalui talian khas di +6011-1190 0518.

Konsert ini bukan sekadar sebuah acara muzik semata-mata, sebaliknya ia merupakan lambang kasih sayang, silaturrahim dan penghormatan terhadap bakat luar biasa daripada sebuah keluarga seni yang telah lama mewarnai landskap muzik Malaysia dari generasi ke generasi.

Komen
Loading...