Ikuti Kami:

ZFIX Cipta Rekod Malaysia Book of Records, Tukar Lebih 1,000 Bateri iPhone

ZFIX Cipta Rekod Malaysia Book of Records, Tukar Lebih 1,000 Bateri iPhone

ZFIX, jenama tempatan yang terkenal dengan kepakaran dalam perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan telefon pintar berjaya mencipta sejarah apabila menukar lebih 1,000 bateri iPhone dalam tempoh 12 jam sekali gus diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penukaran bateri iPhone terbanyak dalam masa singkat.

Cubaan rekod itu berlangsung di cawangan terbaharu ZFIX di Bangunan PKNS Bizpoint, Seksyen 7, Shah Alam bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dengan penglibatan 30 juruteknik bertauliah, 10 petugas audit serta lima kaunter verifikasi.

Proses itu dijalankan mengikut garis panduan ketat MBOR termasuk perekodan nombor siri bateri, sistem log manual dan digital serta rakaman video berterusan.

Detik bersejarah dicapai tepat jam 4.22 petang apabila jumlah penukaran mencecah 1,000 unit, sekali gus menjadikan ZFIX sebagai jenama tempatan pertama melakar pencapaian berkenaan.

Acara itu turut diserikan dengan penganjuran ZFIX Mobile Fest yang menawarkan pemeriksaan kesihatan telefon percuma, bengkel penjagaan peranti, cabutan bertuah, ruang rehat mesra keluarga serta aktiviti interaktif untuk pengunjung.

Pengasas ZFIX, Muhammad Zulhelmi Mohd Yusof, berkata pencapaian tersebut menjadi bukti keupayaan jenama tempatan menetapkan piawaian industri setaraf global.

“Walaupun ZFIX baru ditubuhkan, pengalaman kami dalam bidang ini sudah lebih 10 tahun. Fokus kami kepada iPhone kerana pasaran ini lebih besar dan tersusun. Kami mahu semua pengguna iPhone di Malaysia tahu ZFIX adalah pusat servis yang sah, telus dan dipercayai,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Shah Alam sebagai lokasi cubaan rekod dibuat kerana kawasan itu mempunyai komuniti pelajar dan anak muda yang ramai menggunakan iPhone.

“Kami mahu dekat dengan pasaran sasaran sebenar. Apa yang berlaku hari ini adalah bukti bahawa kepercayaan pelanggan terhadap jenama tempatan semakin kuat,” katanya.

Zulhelmi turut menegaskan ZFIX berbeza kerana mengamalkan ketelusan sepenuhnya dalam operasi.

“Kami mahu menghapuskan persepsi negatif terhadap kedai baiki telefon yang sering dikaitkan dengan ketidakjujuran. Setiap pelanggan boleh melihat sendiri proses baik pulih dijalankan juruteknik. Tiada yang disembunyikan dan privasi pelanggan sentiasa terjamin,” jelasnya.

Beliau berkata ZFIX kini menyasarkan pembukaan 100 cawangan francais di seluruh negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang selepas berjaya membuktikan keupayaan operasi berskala besar.

Komen
Loading...