Pelakon dan penyanyi popular, Zara Zya, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Terpatri Cinta”, hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer dan penulis lirik terkenal, Wanns Ahmad.
Lagu berentak balada romantik ini menampilkan sisi lembut dan matang Zara, menggabungkan elemen emosi serta spiritual yang membawa mesej cinta berlandaskan keikhlasan dan reda Ilahi.
Zara berkata, Terpatri Cinta bukan sekadar karya cinta biasa, sebaliknya mengangkat tema kasih yang suci dan berpaksikan ketulusan hati.
“Pertama kali saya dengar melodi dan baca lirik Terpatri Cinta, saya terus jatuh cinta. Lagu ini ada jiwa yang lembut tetapi mesejnya lebih mendalam tentang cinta yang berpaksikan keikhlasan dan reda Allah.
“Wanns hasilkan lagu ini dengan ‘vibes’ Indonesia dan sedikit sentuhan Islamik seperti yang saya mahukan,” katanya.
Menurut Zara, sebahagian bait lirik lagu tersebut cukup dekat dengan pengalaman peribadinya sebagai seorang wanita dan insan seni.
“Ada bahagian dalam lagu ini yang benar-benar menyentuh hati saya. Ia bukan sekadar kisah cinta biasa, tetapi tentang bagaimana cinta itu boleh menjadi doa,”
“Saya ingin sampaikan bahawa cinta yang paling indah ialah cinta yang disucikan dengan niat yang betul. Kasih yang halal dan diberkati bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa menuju syurga,” katanya.

Proses rakaman lagu ini mengambil masa hampir sebulan dan menurut Zara, kerjasama bersama Wanns Ahmad berjalan dengan lancar.
“Wanns sangat memahami jiwa saya. Dia tidak hanya fokus pada teknik vokal tetapi turut menekankan aspek emosi. Dia tahu saya bukan penyanyi profesional, jadi dia banyak membantu saya menjiwai lagu ini dengan cara yang betul,”
“Ada bahagian lagu yang terlalu dekat dengan hati saya sampai suara pun bergetar.,” katanya.
Zara turut menzahirkan harapan agar lagu ini diterima baik oleh pendengar dari pelbagai lapisan usia.
“Saya harap Terpatri Cinta dapat menyentuh hati pendengar dan memberi ketenangan. Jika ada yang merasa terubat atau tersenyum selepas mendengarnya, itu sudah cukup bermakna buat saya. Lagu ini bukan sekadar karya, tetapi doa kecil tentang cinta abadi,” katanya.
Single Terpatri Cinta, yang dilancarkan sempena ulang tahun kelahiran Zara pada 22 Oktober lalu, kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik utama. Muzik video rasminya turut boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music
.




