Ikuti Kami:

Zahnita Wilson Jalani Ujian Air Kencing, Polis Sahkan Prosedur Berdasarkan Laporan

Zahnita Wilson Jalani Ujian Air Kencing, Polis Sahkan Prosedur Berdasarkan Laporan

Pelakon dan model Zahnita Wilson, 39, terpaksa menjalani ujian saringan air kencing baru-baru ini susulan laporan berkaitan dadah yang membabitkan dirinya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan bahawa ujian tersebut adalah prosedur yang perlu dilakukan bagi mengesahkan aduan yang telah dibuat terhadap Zahnita.

“Polis perlu melakukan ujian air kencing ke atasnya bagi mengesahkan aduan tersebut. Dia datang ke balai untuk bantuan iringan keselamatan, dan pada masa tersebut juga sudah ada laporan ke atasnya,” katanya.

Memetik mStar, Wan Mohd Zahari menjelaskan bahawa ujian air kencing tersebut tiada kaitan dengan permohonan bantuan pengiring, tetapi dilakukan berdasarkan laporan dadah yang dibuat terhadap Zahnita pada hari yang sama.

“Perkara ini perlu diperjelaskan. Ujian urin dibuat bukan disebabkan dia minta bantuan polis untuk mengiring bagi melaksanakan perintah interim hak penjagaan anak, sebaliknya ada laporan dibuat terhadapnya berkait dadah pada hari yang sama,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Zahnita meluahkan rasa pelik apabila diminta menjalani ujian air kencing ketika hadir ke balai polis untuk mendapatkan bantuan pengiring bagi mengambil anaknya daripada jagaan suami.

Zahnita berjaya memperoleh perintah perlindungan interim (IPO) pada 9 Disember lalu dan memerlukan khidmat pengiring polis untuk melaksanakan perintah tersebut.

Dalam satu temu bual bersama media pada Khamis, Zahnita mengesahkan keputusan ujian tersebut adalah negatif.

Dia turut menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh terhadap ujian itu kerana tidak mempunyai apa-apa yang perlu disembunyikan.

Kes ini menarik perhatian ramai, namun pihak polis menegaskan bahawa prosedur tersebut adalah sebahagian daripada tugas mereka untuk menyiasat setiap laporan yang diterima.

Komen
Loading...