Zahiril Adzim Dedah Realiti Dunia Lakonan Ekstra dalam “Martabat: Misi Berdarah”
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Dunia pelakon ekstra jarang diberi perhatian, tetapi menerusi filem Martabat: Misi Berdarah, Zahiril Adzim tampil membawa suara mereka ke layar perak.
Filem ini menandakan penampilan sulung pelakon Zahiril Adzim sebagai pengarah, bergandingan bersama pengarah tersohor Adrian Teh.
Bersama-sama, mereka memperkenalkan genre baharu iaitu filem “ekstra” yang mengetengahkan kisah di sebalik dunia pelakon latar, satu sisi industri yang jarang diberi sorotan.
Menurut Zahiril yang juga pengarah filem ini bukan sekadar filem hiburan, ia adalah penghargaan kepada semua tenaga kerja di balik tabir yang selama ini tidak mendapat tempat di layar utama.
“Dalam dewan malam ini pun ramai pemain industri. Filem ini tentang kita. Macam mana kita bekerja, susah payah kita di set, berpanas, berjaga malam. Kita nak orang luar tahu, kerja kita bukan senang,” kata Zahiril semasa malam gala dan tayangan perdana di GSC Mid Valley semalam.
Filem ini mengangkat kisah sekumpulan pelakon ekstra yang terlibat dalam penggambaran filem aksi ketenteraan di sebuah pulau bersama barisan pelakon terkenal.
Mereka sangat teruja melihat layanan istimewa yang diterima para bintang dan berharap dapat mencuri perhatian untuk mendapatkan watak yang lebih besar.
Namun, cubaan mereka sering berakhir dengan kegagalan dan situasi lucu. Ketegangan memuncak apabila kamera mahal produksi hilang dan persahabatan mereka mula goyah. Dalam usaha membuktikan kebenaran, mereka menemui susuk misteri di lokasi dan akhirnya membongkar identiti pencuri sebenar.
Walaupun penuh unsur komedi, Zahiril berkata filem ini tetap menyampaikan mesej yang bermakna.
“Ini filem santai, sesuai untuk semua. Tapi kami nak sampaikan satu perkara. Kita semua adalah penting tidak mengira pelakon utama ataupun pelakon tambahan termasuk krew-krew yang terbabit.” jelasnya.
Dengan durasi 119 minit, Martabat: Misi Berdarah dibintangi oleh pelakon popular seperti Emma Maembong, Shiqin Kamal, Nelissa Nizam, Nafiez Zaidi, Elvina Chua, Amerul Affendi, Michael Ang, Anas Ridzuan, Fad Bocey dan ramai lagi termasuk penampilan khas Beto Kusyairy, Azhan Rani, Namron dan Fauzi Nawawi.
Filem terbitan Act 2 Pictures dengan kerjasama GSC Cinemas dan Astro Shaw ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 12 Jun 2025, dengan edaran oleh GSC Movies.