Zahiril Adzim Cari Makna Hidup Melalui Lensa Pengarah
- oleh Mohd Indera
- 24 Jul 2025 12:30 pm

Pelakon dan pengarah, Zahiril Adzim menjadikan telefilem terbarunya, Pencuri Rumah Imam, sebagai ruang untuk menyampaikan mesej kehidupan dan pencarian makna melalui lensa pengarahan.
Telefilem ini juga menjadi penutup kepada siri khas Dari Layar Ke Lensa sempena ulang tahun ke-41 TV3 yang memberi peluang kepada empat selebriti popular tempatan iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim untuk mengarah karya masing-masing.
Ia bakal disiarkan pada 26 Julai ini menerusi slot Cerekarama di TV3 dan merupakan karya kedua arahannya.
Menurut Zahiril, naskhah yang dibangunkan dalam genre komedi itu tetap membawa mesej kemanusiaan dan keinsafan secara halus.
“Niat asal filem ini memang sekadar komedi. Tapi kalau ada yang melihatnya dari sudut simbolik, saya tak menolak. Kadang-kadang sebagai manusia, kita hanya mula ingat Tuhan bila rasa diri dekat dengan kematian,” katanya.
Pencuri Rumah Imam mengisahkan Adli (lakonan Fikry Ibrahim), seorang pencuri yang menyamar sebagai orang kaya untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa. Dia berjaya meraih kepercayaan Tok Imam Saleh (Razak Ahmad) dan mendakwa mahu mendalami ilmu agama.
Namun, anak Tok Imam, Khadijah (lakonan Shiqin Kamal) mula meragui keikhlasan Adli, sekaligus mencetuskan konflik dan persoalan terhadap identitinya yang sebenar.
Telefilem ini turut menyentuh isu materialisme dan ketamakan terhadap wang yang menurut Zahiril sering menjadi punca kepada pelbagai masalah dalam masyarakat.
“Duit memang jahat. Ia boleh bawa kepada pergaduhan, malah sampai ke tahap mencabut nyawa. Tapi jangan sampai ia memakan diri sendiri,” katanya lagi.
Babak-babak seperti Adli bersembunyi dalam van jenazah turut menjadi perhatian apabila dianggap sebagai simbolik kepada kesedaran tentang kematian. Namun Zahiril menjelaskan bahawa mesej tersebut tidak dimasukkan secara langsung.
“Saya terbuka jika ada penonton yang mahu mentafsirkannya secara simbolik. Jika mesej baik dapat disampaikan dan difahami, itu satu bonus untuk saya, mudah-mudahan saya pun dapat ‘saham akhirat’,” katanya.
Pencuri Rumah Imam bakal ditayangkan pada Sabtu ini, jam 10 malam di slot Cerekarama TV3 dan dijangka memberikan kelainan kepada penonton menerusi pendekatan santai dengan elemen nilai dan mesej kehidupan yang tersirat.