you.will.knovv in Malaysia 2025: Gabungan Emosi & R&B Alternatif
- oleh Mohd Indera
- 11 Jul 2025 1:53 pm

Peminat muzik R&B alternatif bakal dihidangkan dengan pengalaman muzik yang mendalam dan penuh emosi apabila label muzik Korea yang berpengaruh, you.will.knovv, membawakan tiga artis utamanya ke pentas Malaysia menerusi konsert you.will.knovv in Malaysia 2025.
Konsert yang bakal berlangsung pada 4 Oktober 2025 (Sabtu), jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur ini menampilkan Tabber, Rad Museum dan Miso, tiga nama besar dalam arena muzik eksperimental Korea Selatan. Acara ini dianjurkan oleh TopGallant Show.
Ditubuhkan oleh penyanyi dan penerbit terkenal DEAN pada tahun 2017, you.will.knovv tampil sebagai label muzik yang mewakili suara generasi baharu dengan alunan sonik yang atmosferik, pengaruh genre yang meluas serta naratif muzik yang penuh nuansa emosi.
Jelajah Asia pertama ini menjadi manifestasi kepada perkembangan estetika muzik mereka secara langsung kepada peminat.
Tabber, dengan vokal beremosi dan gaya persembahan yang berani, kembali ke Malaysia membawa karya-karya puitis dari Madness Always Turns to Sadness (2023).
Penyertaannya dalam Show Me The Money 10 dan kolaborasi bersama Syd, Paul Blanco serta Yerin Baek memperkukuh reputasinya sebagai penggerak R&B eksperimental.
Rad Museum, pelopor kepada gaya visual dan bunyi yang tersendiri, terkenal menerusi album RAD yang meraih Anugerah Album R&B Terbaik di Korean Hiphop Awards 2023. Album-albumnya seperti GIRL dan HOME SICK terus menolak batasan kreativiti dengan naratif yang sangat peribadi.
Sementara itu, Miso bakal membuat kemunculan sulung di Malaysia dengan gaya nyanyian lembut dan intim yang pernah menghiasi pentas antarabangsa.
Lagu-lagu seperti “Take Me”, “Let It Go” dan “Alone” telah meletakkannya dalam kelas tersendiri dengan muzik yang menyentuh emosi dan mengaburkan sempadan genre.
Tiket akan mula dijual pada 18 Julai 2025 (Jumaat), jam 12 tengah hari menerusi laman web my.bookmyshow.com, my.trip.com dan www.ctrip.com.
Harga tiket bermula daripada RM238 untuk tempat duduk (CAT 2), RM338 untuk kategori berdiri (CAT 1), manakala tiket VIP yang merangkumi pilihan tempat duduk atau berdiri berharga RM538.
VIP Box turut ditawarkan dengan tempahan boleh dibuat melalui mesej langsung di media sosial atau WhatsApp ke nombor +012 816 2218.
Pemegang tiket VIP akan menerima keistimewaan eksklusif seperti tag dan lanyard VIP serta peluang menyertai cabutan bertuah untuk memenangi salah satu daripada 200 poster bertandatangan, 100 slot foto peribadi (3 banding 1) bersama artis atau 10 slot gambar berkumpulan (3 banding 10) yang mempertemukan sepuluh peminat dalam satu sesi.
Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi penganjur di www.topgallantshow.com.