Ikuti Kami:

Yonnyboii & Malique Bersatu Dalam ‘Tanya Tuhan’

Yonnyboii & Malique Bersatu Dalam ‘Tanya Tuhan’

Penyanyi rap dan komposer muda berbakat, Yonnyboii, akhirnya berjaya merealisasikan impian seninya apabila berjaya bergabung tenaga dengan figura muzik ikonik tanah air, Malique, menerusi single terbaharu berjudul Tanya Tuhan.

Kolaborasi yang dianggap ‘mustahil’ oleh ramai itu kini menjadi kenyataan, sekali gus mencipta sejarah tersendiri dalam perjalanan karier Yonnyboii yang sudah lama menyimpan hasrat untuk berkongsi karya bersama idola tersebut.

“Memang saya tak sangka, ini antara impian paling besar saya sejak mula berkecimpung dalam muzik. Malique ialah satu nama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Dia antara sebab kenapa saya terus menulis lagu. Kini saya ada lagu bersama beliau, saya masih belum percaya ini benar-benar berlaku,” kata Yonnyboii.

Single Tanya Tuhan menyatukan dua generasi pemuzik yang masing-masing mempunyai gaya dan peminat tersendiri. Lebih istimewa, lagu ini turut menampilkan lirik hasil gabungan idea Yonnyboii dan Malique, dengan LastKhalif bertindak selaku penerbit.

Menurut Yonnyboii, Tanya Tuhan terbit daripada refleksi dirinya yang melalui fasa sukar dalam hidup, ketika dihimpit pelbagai persoalan yang sukar dirungkaikan.

“Saya menulis lagu ini ketika sedang berada dalam keadaan tertekan dan penat secara emosi. Bukan mudah bila kita berada di tengah-tengah antara cabaran kerjaya dan tanggungjawab sebagai bapa. Lagu ini macam luahan hati saya yang selama ini terpendam,” ujarnya.

Tambah Yonnyboii, Tanya Tuhan bukan sekadar sebuah karya biasa, sebaliknya lagu yang cukup peribadi dan penuh emosi buat dirinya. Dia berharap pendengar dapat menghayati maksud di sebalik liriknya, yang menyentuh soal pencarian jawapan dalam kehidupan.

Dalam masa sama, muzik video (MV) Tanya Tuhan turut melengkapkan karya ini dengan sentuhan kreatif pengarah Thaqif, yang juga sahabat lama Yonnyboii.

“Untuk MV, saya memang mahu Thaqif sebab dia faham ‘gila’ saya. Dia tahu cara terjemahkan apa yang saya fikirkan dalam bentuk visual. Saya sangat puas hati dengan hasilnya dan harap dapat terus bekerjasama dengannya di masa depan,” katanya.

Kerjasama antara Yonnyboii dan Malique ini pastinya memberi nafas baharu buat industri muzik tempatan, menyatukan dua generasi pengkarya dalam satu karya yang membawa mesej mendalam.

Komen
Loading...