Ikuti Kami:

Yayasan Raja Muda Selangor Kukuh Jalinan Industri Perkasa TVET Negeri

Yayasan Raja Muda Selangor Kukuh Jalinan Industri Perkasa TVET Negeri

Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) terus memperkukuh jalinan strategik bersama institusi latihan dan pemain industri menerusi penganjuran Hari Terbuka TVET YRMS–Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2025 yang berlangsung di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua hari ini.

Program di bawah naungan diraja Duli Yang Teramat Mulia (D.Y.T.M.) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, itu berjaya menarik penyertaan lebih 2,000 peserta terdiri daripada pelajar, alumni, rakan industri serta komuniti setempat.

Acara tahunan ini menjadi platform utama YRMS memperkasa belia negeri Selangor melalui pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang kini diiktiraf sebagai laluan kerjaya berprestij dan berimpak tinggi dalam pembangunan tenaga kerja negara.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YRMS, Yang Amat Dihormati (Y.A.D.) Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj bin Raja Tun Uda Alhaj, berkata YRMS kekal komited membangunkan golongan muda daripada pelbagai latar belakang sosial agar memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa.

“YRMS memainkan peranan penting membantu belia daripada keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa atau agama agar mereka dapat membina masa depan lebih baik melalui laluan kemahiran.

“Fokus kami bukan sekadar melahirkan tenaga teknikal, tetapi membentuk belia yang beretika, berkeyakinan dan berdaya saing,” katanya.

Sejak penubuhannya pada tahun 2003 atas titah Duli Yang Maha Mulia (D.Y.M.M.) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, YRMS telah memberi manfaat kepada lebih 7,600 belia Malaysia berumur 16 hingga 30 tahun melalui pelbagai program kemahiran, pembangunan diri dan kerjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif YRMS, Muhammad Syazwan bin Mohd Daut, berkata Hari Terbuka TVET merupakan inisiatif berterusan yayasan sejak tahun 2019, dengan kerjasama pelbagai institusi latihan di Selangor.

“Program ini bermula di Kuala Selangor dan kini bergerak ke setiap daerah di Selangor, tahun ini di Hulu Langat, selepas Selayang, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

“Matlamat kami adalah membuka minda masyarakat bahawa TVET bukan lagi aliran kelas kedua, tetapi laluan alternatif yang lebih cepat, berkesan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi,” katanya.

Beliau berkata, purata kebolehpasaran graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan IKTBN bagi tahun 2025 mencecah 97 peratus, membuktikan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja mahir di pasaran.

“Industri tempatan sangat memerlukan juruteknik, mekanik dan juruelektrik yang menjadi tulang belakang kepada sektor pengeluaran dan teknologi. TVET melatih anak muda menjadi tenaga penggerak sebenar industri,” jelasnya.

Bagi memperkukuh ekosistem kemahiran, YRMS menandatangani beberapa Sijil Kolaborasi (Certificate of Collaboration – CoC) dengan rakan industri strategik termasuk Siam Industrial Academy, Tymba Education Group, dan Radiant Group.

“Kerjasama ini melibatkan pelbagai bidang seperti jentera berat, multimedia digital dan modul pembangunan sahsiah yang akan diberikan secara pro bono kepada pelajar di bawah bimbingan YRMS.

“Langkah ini penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja mahir secara teknikal tetapi juga memiliki kecekapan insaniah,” ujar Muhammad Syazwan.

Beliau turut memaklumkan sambutan program kali ini amat menggalakkan dengan penyertaan 40 pasukan dari seluruh negara bagi Pertandingan TVET – TVET Untuk Masa Depan Mampan, selain 270 pelajar menyertai Bengkel Eksplorasi Diri (SDW).

Dalam pada itu, Raja Tan Sri Arshad turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) atas sokongan berterusan sejak 2018.

“Kolaborasi ini penting bukan sahaja memperkukuh ekosistem TVET di Selangor, malah meluaskan jangkauan YRMS dalam membantu belia yang memilih laluan kemahiran sebagai asas masa depan mereka,” katanya.

Majlis rasmi Hari Terbuka TVET 2025 turut menyaksikan penyampaian hadiah pertandingan, anugerah pelajar terbaik, penyerahan bantuan komputer riba dan sumbangan amal kepada rumah kebajikan.

Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) ialah organisasi bukan kerajaan (NGO) tanpa keuntungan dan berstatus pengecualian cukai yang ditubuhkan pada tahun 2003 oleh D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Sejak 2017, D.Y.T.M. Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor, meneruskan visi tersebut sebagai Penaung Diraja.

YRMS memberi tumpuan kepada pembangunan belia melalui tiga teras utama:
• Talent for the World (Bakat untuk Dunia)
• Skills-Based Training (Latihan Berasaskan Kemahiran)
• Self-Discovery Workshop (Bengkel Eksplorasi Diri)

Melalui inisiatif ini, YRMS komited membentuk generasi muda Selangor yang berkemahiran, berkeyakinan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Komen
Loading...