Yayasan PEKEMA Hulur Sumbangan RM150,000 Kepada 30 Artis KARYAWAN
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Yayasan PEKEMA, di bawah naungan Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), telah menganjurkan Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin di Grand Ballroom, Pullman Kuala Lumpur City Centre, petang tadi.
Acara ini bertujuan meraikan jasa dan sumbangan artis-artis tempatan, khususnya golongan veteran dan mereka yang memerlukan sokongan.
Dalam majlis penuh bermakna ini, Yayasan PEKEMA menyerahkan bantuan kewangan RM5,000 seorang kepada 30 artis berjumlah RM150,000 keseluruhan.
Ybhg Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin ( Presiden PEKEMA) turut menegaskan komitmen pihaknya dalam menyokong masyarakat seni.
“Artis-artis ini telah banyak menyumbang kepada industri hiburan dan budaya kita. Hari ini, kami ingin menunjukkan penghargaan atas jasa mereka dengan membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Freddie Fernandez, yang dalam ucapannya mengucapkan penghargaan kepada Yayasan PEKEMA atas usaha murni tersebut.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa sektor korporat seperti PEKEMA amat memahami kepentingan menjaga kebajikan penggiat seni tempatan.
“Ia satu langkah terpuji yang wajar dicontohi, Kami, warga seni, sangat menghargai segala usaha yang telah dilakukan dan amat berterima kasih atas keperhatian yang diberikan.” katanya.
Sheqal atau nama sebenar, Shahrin Salehuddin, 59, yang popular dengan lagu Cinta Nusantara berterima kasih kepada pihak yang sudi menghulur sumbangan ketika dirinya berdepan kesukaran hidup.
“Saya sedih. Terima kasih kepada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang membantu artis termasuk saya yang dianggap sudah ‘expired’.
“Terima kasih kepada penderma yang sudah banyak membantu artis. Sekurang-kurangnya, apa yang kami tanggung tidak membebankan.
“Saya bersyukur ramai rakan artis membantu. Malah, ada yang dari Kuala Lumpur datang ke Seremban, Negeri Sembilan menziarahi saya. Wartawan pun ramai yang datang,” katanya.
Antara penerima bantuan ialah Zaiton Sameon, Norlia Ghani, Ali XPDC, Sheqal, Dato’ Jefrydin, Datuk Andre Goh, dan Datuk Sarimah Ahmad.
Senarai penerima juga merangkumi pelbagai golongan penggiat seni termasuk pelakon, penyanyi, dan pelawak seperti Ebby Yus, Sathiya, Mak Wan, dan Nas Ahmad.
Majlis yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 6 petang itu berakhir dengan sesi bergambar dan ramah mesra antara tetamu dan para artis.
Acara ini mencerminkan keprihatinan Yayasan PEKEMA terhadap kebajikan golongan seni, sekali gus mengukuhkan hubungan antara organisasi korporat dan penggiat seni tanah air.
Foto Oleh : Pa Pa Din (Amoz)