Ikuti Kami:

Yayasan Pahang Cipta Sejarah, Menang Anugerah Anti-Rasuah PBB

Yayasan Pahang Cipta Sejarah, Menang Anugerah Anti-Rasuah PBB

Dato’ Indera Mahmud Mohd. Nawawi (kiri) menerima anugerah bagi kategori anti-rasuah pada Forward Faster Sustainability Awards (FFSA) 2026 yang disampaikan oleh Dato Fad’l Mohamed

Yayasan Pahang (YP) melakar pencapaian gemilang di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Anti-Rasuah pada UNGC Forward Faster Sustainability Awards (FFSA) 2026, semalam.
​Kejayaan itu sekali gus membuktikan komitmen jitu yayasan berkenaan dalam membudayakan kecemerlangan dan integriti melalui pengiktirafan berprestij di bawah naungan United Nations Global Compact (UNGC).

​Majlis anugerah anjuran UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg.
​Yayasan Pahang mengungguli kategori berkenaan menerusi kertas kerja bertajuk “Building a Culture of Integrity: How Yayasan Pahang Strengthened Governance Through ISO 37001”, mengetepikan cabaran beberapa organisasi lain termasuk Thumbprints United Sdn Bhd di peringkat akhir.

​Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi, berkata pengiktirafan itu adalah manifestasi kesungguhan agensi tersebut dalam memperkukuh nilai ketelusan dan tadbir urus korporat berlandaskan piawaian antarabangsa.

​”Anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian, malah merupakan pengiktirafan di peringkat antarabangsa oleh United Nations Global Compact.

​”Ia membuktikan kesungguhan Yayasan Pahang dalam melaksanakan tadbir urus berintegriti secara menyeluruh, khususnya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Yayasan Pahang memenangi kategori Anti-Rasuah menerusi penyertaan kertas kerja bertajuk “Building a Culture of Integrity: How Yayasan Pahang Strengthened Governance Through ISO 37001”.

​Beliau berkata, integriti adalah tunjang kepada setiap usaha kelestarian dan kejayaan itu bakal menjadi penanda aras baharu bagi institusi yayasan milik kerajaan negeri di Malaysia.

​”Kami amat berbesar hati dan percaya kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk kami terus memperkasakan sistem tadbir urus yang amanah demi kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya.

​Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed bersama Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar.

​Turut menerima pengiktirafan dalam kategori lain pada majlis berkenaan ialah organisasi gergasi negara termasuk Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Komen
Loading...