Ikuti Kami:

Yayasan Islah Global, Al-Khair Foundation UK Jalin Kerjasama Laksanakan Korban 1448H

Yayasan Islah Global, Al-Khair Foundation UK Jalin Kerjasama Laksanakan Korban 1448H

Islah Global Foundation (IGF) dan Al-Khair Foundation (AKF) United Kingdom secara rasmi memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi pelaksanaan Program Korban 1448H / 2026, baru-baru ini.

Majlis bersejarah yang berlangsung pada 13 April 2026 itu menandakan permulaan kerjasama strategik untuk menyalurkan bantuan daging korban kepada komuniti yang memerlukan di zon konflik dan kawasan asnaf termasuk Gaza (Palestin), Jordan, Syria, serta Mesir.

Majlis menandatangani MOU berkenaan diadakan di pejabat IGF, Presint 1, Putrajaya, yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Dakwah IGF, Ustaz Mohd Nasir Rustam, bersama Pengarah Global AKF, Mohammad Yousef Hasna dan Pengarah Serantau Asia Tenggara AKF, Mohab Yaser.

Ustaz Mohd Nasir menegaskan bahawa pemeteraian perjanjian pada Isnin lalu itu merupakan satu komitmen serius kedua-dua organisasi dalam memastikan ibadah korban rakyat Malaysia dilaksanakan dengan penuh amanah dan telus.

“Kerjasama ini bukan sekadar dokumen. Ia adalah janji kepada setiap peserta di Malaysia bahawa ibadah mereka akan sampai kepada mereka yang paling memerlukan, terutamanya di bumi yang paling mencabar seperti Gaza,” katanya.

Program tahun ini turut memperkenalkan IslahFlow, sistem penjejakan digital pertama di dunia yang membolehkan peserta memantau proses ibadah mereka secara telus, bermula daripada pendaftaran sehinggalah daging diagihkan kepada asnaf yang disasarkan.

Menerusi MOU ini, IGF berperanan sebagai organisasi pengurusan dan promosi di Malaysia, manakala AKF yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa akan menguruskan sepenuhnya aspek perolehan haiwan, penyembelihan, serta proses agihan di lapangan.

Bagi mendepani cabaran infrastruktur di kawasan yang kekurangan bekalan elektrik seperti Semenanjung Gaza, program ini menawarkan dua kaedah agihan utama iaitu Daging Bertin (Canned) dan Daging Sejuk Beku (Frozen).

Pihak penganjur juga memberi jaminan bahawa setiap peserta akan dibekalkan dengan dokumentasi penuh, termasuk bukti bergambar sebagai pengesahan bahawa amanah korban telah ditunaikan dengan sempurna.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai Program Korban 1448H boleh mendaftar melalui laman web korbanislah.com atau menghubungi talian WhatsApp 017-297 1805.