Yayasan Ar Riduwan Salur Sumbangan RM90,000, Bantu Naik Taraf Kelengkapan HTSMTI
- oleh MDaily Editor
- 12 May 2026 9:31 pm
Yayasan Ar Riduwan (YAR) memperuntukkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM90,000 kepada Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, bagi menampung keperluan mendesak dan menaik taraf kelengkapan perubatan hospital awam berkenaan.
Sumbangan tersebut merangkumi 30 unit kerusi roda baharu bernilai RM30,000 serta pelbagai kelengkapan perabot termasuk katil hospital, almari dan loker yang berjumlah RM60,000.
Ketua Pegawai Operasi YAR, Luqmanul Hakim Muhamad Riduwan berkata, inisiatif itu bertujuan membantu pihak hospital menggantikan peralatan yang telah usang selain menampung peningkatan jumlah pesakit yang semakin bertambah.

”Sumbangan ini merupakan fasa keempat yang disalurkan oleh pihak yayasan kepada HTSMTI sejak Ogos tahun lalu. Kami terpanggil untuk menghulurkan bantuan bagi memastikan keselesaan pesakit dan memudahkan urusan petugas barisan hadapan.
”Malah, YAR juga sedang dalam perancangan untuk menyalurkan bantuan tambahan lain termasuk penyediaan sistem penghawa dingin serta urusan pembelian ambulans bagi kegunaan hospital ini pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Luqmanul Hakim, inisiatif di bawah Kluster Kebajikan Kesihatan YAR itu tidak hanya tertumpu di daerah Kulai, malah pihak yayasan bercadang untuk meluaskan gerak kerja kebajikan mereka ke negeri-negeri lain di seluruh negara.
Terdahulu, YAR yang berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, aktif menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk menyumbangkan keperluan asas kepada Hospital Muar dan mengagihkan 8,000 bungkusan bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan lalu.

Beliau dalam masa sama turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyokong misi tersebut sama ada sebagai sukarelawan berdaftar atau penyumbang tetap bagi memperkukuh bantuan kesihatan kepada golongan asnaf.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan derma menerusi akaun Maybank 551043833248 atas nama Yayasan Ar Riduwan dengan rujukan ‘Kebajikan Kesihatan’ atau menghubungi talian +6019-5299929 untuk maklumat lanjut.
