Ikuti Kami:

‘Yang Engkau Mahukan’ Bukan Sekadar Lagu, Ia Kisah Hidup Saya – Hafiz Suip

‘Yang Engkau Mahukan’ Bukan Sekadar Lagu, Ia Kisah Hidup Saya – Hafiz Suip

Biarpun sudah 17 tahun menempuh ranjau seni sejak menjuarai Akademi Fantasia Musim 7 pada 2009, penyanyi bersuara lunak, Hafiz Suip, mengakui perasaan gementar masih menebal setiap kali muncul dengan karya baharu.

Terbaharu, Hafiz mempertaruhkan single berjudul Yang Engkau Mahukan hasil ciptaan sepenuhnya komposer tersohor, Ajai, terbitan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia.

Menariknya, lagu yang sudah mula menemui pendengar sejak 16 Januari lalu itu disifatkan cukup peribadi buat penyanyi berusia 36 tahun ini.

“Lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik. Ia adalah kisah mengenai diri dan kehidupan saya yang cuba saya sampaikan menerusi melodi dan lirik. Yang tahu, tahulah… terpulang kepada bagaimana pendengar mahu menginterpretasikan mesej dalam lagu ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya yang diadakan di St Giles Hotel, Kuala Lumpur, semalam.

Hafiz yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-36 hari ini, mengakui tekanan terasa lebih hebat kerana persaingan dalam industri muzik tanah air yang semakin sengit dengan kemunculan ramai penyanyi solo lelaki baharu.

“Saya akui berasa agak gementar kerana kita tidak tahu apa reaksi dan jangkaan peminat. Apatah lagi, industri muzik kita kini semakin meriah. Namun, ini adalah hadiah khas buat peminat yang setia menanti kemunculan saya,” ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai proses rakaman, Hafiz mendedahkan dia terpaksa ‘bertapa’ seketika di dalam studio bersama Ajai bagi memastikan jiwa lagu tersebut sampai kepada pendengar.

“Rakaman suara terpaksa dilakukan sebanyak dua kali. Pada sesi kedua, Abang Ajai menaikkan satu key suara saya. Akhirnya, beliau berpuas hati dan memberitahu hasil tersebut lebih sesuai dengan karakter dan dinamika vokal saya,” katanya.

Sementara itu, Ajai menyifatkan Hafiz sebagai seorang penyanyi yang sangat komited dan sentiasa bersedia apabila melangkah masuk ke studio.

“Alhamdulillah, dia benar-benar menjiwai dan memberikan yang terbaik. Kematangannya dalam setiap aspek muzik kini lebih terserlah. Dia tahu apa yang dia mahukan, terutama dari sudut teknikal dan bunyi-bunyian yang up to date.

“Penghayatannya semakin mendalam, maka dia dapat memberikan nyanyian yang lebih sempurna,” kata Ajai mengenai proses pembikinan lagu yang memakan masa selama sebulan itu.

Menurut Ajai, fokus utama mereka adalah untuk memastikan mesej lagu tersebut sampai dan menyentuh jiwa pendengar, sekaligus menjadi karya yang mampu tersemat dalam ingatan peminat muzik tempatan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran isteri beliau, Fiona Safiya, yang selamat diijabkabulkan di Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada 13 Februari lalu.

Yang Engkau Mahukan kini boleh distrim di semua platform digital muzik utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Loading...