Ikuti Kami:

“Ya, Abah Saya Security” Dedikasi Kasih Sayang, Penyesalan Seorang Anak – Aliff Syukri

“Ya, Abah Saya Security” Dedikasi Kasih Sayang, Penyesalan Seorang Anak – Aliff Syukri

Usahawan selebriti, Dato’ Aliff Syukri, menyentuh hati ramai pihak apabila menyingkap sisi peribadi yang penuh emosi menerusi filem jenama Raya D’Herbs 2026 bertajuk “Ya, Abah Saya Security”.

Bagi Aliff sendiri, filem ini merupakan dedikasi terhadap arwah bapanya yang meninggal dunia secara mengejut pada tahun 2019 lalu.

Beliau mengakui dihantui perasaan kesal kerana terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak sempat meluangkan masa berkualiti bersama bapanya ketika hayat beliau.

“Saya terlalu sibuk mengejar kejayaan sehingga terlupa bahawa di sebalik setiap langkah saya, ada doa dan pengorbanan seorang ayah. Saya ingin berkongsi dengan anak-anak di luar sana, siapapun asal-usul keluarga kita, jangan pernah malu.”

“Walaupun ayah kita bekerja sebagai pengawal keselamatan, petani, atau tukang kebun, mereka tetap wira yang layak disayangi,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana di GSC, IOI Mall Damansara, hari ini.

Dari kiri: Megat Shahrizal, Bobby Husaini, Adik Mikael Noah, Azhan Rani, Dato’ Sri Aliff Syukri, dan Datin Norshahida Rashid.

Filem yang mengangkat kisah benar kehidupan beliau bersama arwah bapanya, Kamal Zaman bin Kamaluddin ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Azhan Rani, Adik Mikael Noah, Niezam Zaidi, dan Megat Sharizal.

Naskah ini membawa penonton menyelami realiti kehidupan seorang anak yang pernah berasa malu dengan pekerjaan bapanya sebagai pengawal keselamatan, sebelum akhirnya sedar akan pengorbanan besar yang dilakukan demi keluarga.

Pelakon utama, Azhan Rani, mengakui beliau meremang bulu roma sebaik sahaja mendengar sinopsis filem ini kerana ia mempunyai persamaan dengan perjalanan hidupnya sendiri.

Pelakon Utama, Azhan Rani

“Arwah bapa saya juga pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas bersara demi menyara pengajian saya. Apabila saya melakonkan watak ini, saya teringat kembali saat-saat sukar itu.

“Filem ini bukan sekadar hiburan kontemporari, malah ia merupakan cermin kehidupan yang sangat dekat dengan masyarakat kita,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Bobby Husaini, menyifatkan filem ini sebagai sebuah karya yang sangat jujur kerana ia berakar umbi daripada pengalaman sebenar usahawan tersebut.

Pengarah, Bobby Husaini.

“Apabila Dato’ Aliff berkongsi kisah ini, staf saya sendiri menangis. Ini adalah tema dan penceritaan yang sangat indah kerana ia bukan sesuatu yang direka-reka. Dato’ amat menitikberatkan ketepatan setiap elemen, suasana, dan identiti dalam filem ini supaya mesej asal tidak terpesong,” katanya.

“Ya, Abah Saya Security” akan menemui penonton bermula 12 Mac ini. Naskhah ini diharapkan dapat menjadi satu peringatan buat masyarakat agar sentiasa menghargai jasa ibu bapa tanpa mengira status atau latar belakang kerjaya mereka.

Foto Oleh: Sukie Hj Bebit.

Loading...