Ikuti Kami:

XPDC Metalkestra Tambah Dua Kategori Tiket Baharu, Penganjur Umum Penampilan Khas Ali Ismail

XPDC Metalkestra Tambah Dua Kategori Tiket Baharu, Penganjur Umum Penampilan Khas Ali Ismail

Selepas menerima sambutan luar biasa daripada peminat, kumpulan rock legenda XPDC bersama penganjur, RMR Events Asia, mengumumkan penambahan dua kategori tiket baharu bagi Konsert XPDC Metalkestra 2025 yang akan berlangsung pada 8 November 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert ini bakal mempersembahkan XPDC dengan gandingan unik muzik rock dan orkestra dalam susunan segar serta berbeza daripada persembahan sebelum ini.

Menurut RMR Events Asia, jualan tiket bagi kategori CAT 1 dan CAT 2 masih dibuka dan menunjukkan peningkatan ketara sejak pengumuman rasmi dibuat.

“Penambahan kategori tiket baharu dilakukan selepas tiket berkerusi bagi Royal Box dan CAT 3 habis dijual, manakala CAT 4 kini berbaki kurang lima peratus,” menurut kenyataan penganjur di laman Facebook rasmi mereka.

Bagi memenuhi permintaan tinggi daripada peminat yang mengutamakan keselesaan dan pemandangan terbaik, kategori baharu Metalkestra Zone (Seated) diperkenalkan.

“Zon ini menyediakan tempat duduk strategik di bahagian kiri dan kanan pentas, sesuai untuk penonton yang ingin menikmati konsert dalam suasana lebih selesa namun tetap merasai kehangatan persembahan secara langsung,” jelas kenyataan itu.

“Selain itu, kategori CAT 5 – Timur Barat (Harga Rahmah) turut diperkenalkan sebagai pilihan paling berpatutan. Zon free standing ini terletak bersebelahan kawasan front of house (FOH), membolehkan penonton menikmati bunyi sekeliling sambil bebas beraksi dan ber-headbanging,” tambah kenyataan berkenaan.

Peminat juga boleh membuat pembelian tiket melalui kaedah ansuran menggunakan Atome dan GrabPayLater, selain pembayaran melalui kad kredit, kad debit, dan perbankan internet.

Menariknya, bekas vokalis XPDC, Ali Ismail, turut diumumkan bakal membuat kemunculan khas dalam Metalkestra kali ini, memberikan nilai sentimental buat peminat yang merindui kehadirannya.

“Doakan segala perancangan berjalan lancar. Kehadiran Ali pastinya akan menambah warna dan kenangan istimewa buat konsert kali ini,” kata kenyataan rasmi RMR Events Asia.

Dalam persembahan epik ini, peminat bakal dihiburkan dengan lebih 25 lagu malar segar yang menggamit nostalgia era kegemilangan XPDC.

Antara lagu yang bakal dimainkan termasuk Dunia 4 Segi, King El Mondoq, Samurai, Berdesup Cahaya, Senapang Patah, Bahalol (instrumental), Ntahapapantah, Haprak, Tanggis Darah, Jangan Tak Mandi, Hairan Bin Ajaib, John Jenin, Abadikan Tragedi, Aku dan Sesuatu, Nafisa, Raja Kertas, Tak Nak Jadi Sochai, Talam Dua Muka, Hentian Ini, Titian Perjalanan, Teman, Sakinah, Nyanyuk, Kita Pengyu, Selendang Merdeka serta Semangat Yang Hilang.

Barisan terkini XPDC terdiri daripada Mamu (vokal), Izo (gitar utama), Arif (gitar), Lola (dram) dan Eddy (bes), gabungan mantap yang bakal membawa persembahan penuh bertenaga dengan iringan orkestra.

Sebagai kejutan istimewa, pihak penganjur turut menawarkan tiga buah gitar jenama Jackson lengkap dengan tandatangan ahli XPDC kepada penonton yang hadir dengan pakaian paling menarik berinspirasikan tema konsert Samurai.

Harga tiket bermula RM88 boleh didapati melalui laman rasmi www.ilassotickets.com/konsertxpdcmetalkestra.

Komen
Loading...