Ikuti Kami:

XPDC Metalkestra: Gabungan Metal dan Orkestra Gegarkan Zepp KL November Ini

XPDC Metalkestra: Gabungan Metal dan Orkestra Gegarkan Zepp KL November Ini

Gabungan dua dunia muzik yang jarang bersatu, heavy metal dan orkestra, bakal menyatu dalam satu pentas menerusi XPDC METALKESTRA, konsert epik yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November 2025.

Dianjurkan oleh Republic Mokhmah Records, konsert ini bakal menyaksikan XPDC yang kini dianggotai Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu mempersembahkan deretan lagu malar segar dengan nafas baharu, termasuk beberapa lagu yang tidak pernah dimainkan secara langsung, serta karya terbaharu daripada album akan datang.

Gitaris XPDC, Izo, menyifatkan konsert Metalkestra sebagai satu penanda aras baharu buat kumpulan, dengan gabungan orkestra yang memberi nafas baru kepada lagu-lagu mereka.

“Gabungan orkestra akan menambah kemewahan kepada lagu-lagu kami. XPDC Metalkestra bukan sekadar persembahan biasa, Kita juga akan mainkan lagu yang kita tak pernah main secara langsung sebelum ini, dan istimewanya, akan ada lagu baharu dari album yang akan datang,” katanya.

Wakil penganjur, Musa dari Republic Mokhmah Records, yang meminati XPDC sejak zaman persekolahan, mengakui peluang untuk menganjurkan konsert bagi band idolanya adalah satu impian yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Memandangkan XPDC adalah band kegemaran kami sejak zaman sekolah, saya tak sangka dulu saya beli kaset mereka, hari ini saya sendiri dapat anjurkan konsert XPDC. Ini satu penghormatan besar,” ujarnya.

Tambah Musa lagi, beliau berharap XPDC Metalkestra bukan sahaja menarik peminat lama, tetapi turut membuka ruang kepada generasi baharu yang mengenali XPDC melalui media sosial.

“Harus diakui karya-karya XPDC tidak pernah mati dan kekal relevan. Kami juga berharap bukan hanya peminat lama yang hadir tetapi konsert ini mampu menarik peminat generasi baharu,” ujar Musa.

Konsert XPDC Metalkestra juga mengangkat semangat eksperimental dalam muzik apabila lagu-lagu seperti Apa Nak Dikata, Hijau Bumi Tuhan, CT Cinta Kenangan Silam, Kita Peng-Yu dan Nafisa bakal diberi susunan baharu oleh pasukan muzik orkestra khas yang dijemput untuk menjayakan persembahan ini.

Tiket akan mula dijual pada 30 Julai, jam 5 petang di iLassoTickets.com, dengan harga bermula RM138 hingga RM5,008, bergantung kepada kategori tempat duduk dan pakej.

Pilihan termasuk kawasan berdiri bebas, tempat duduk bernombor, VIP dengan cenderamata dan poster, serta Royal Box untuk 10 orang lengkap dengan sesi Meet & Greet dan goodie bag eksklusif.

Sebagai tarikan tambahan, tiga unit gitar Jackson Izo Signature turut ditawarkan kepada peminat yang memakai kostum samurai terbaik dan pemenang cabutan bertuah pada malam tersebut.

Komen
Loading...