Kumpulan rock tanah air, XPDC Kita Peng Yu (KPY), bakal menggegarkan perkarangan BapakkuFM, Jalan Gombak dalam satu persembahan santai yang dijadualkan berlangsung pada 14 Februari ini.
Showcase yang dinamakan sebagai ‘Santai Bersama XPDC Kita Peng Yu’ itu bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah ia merupakan manifestasi hubungan persahabatan yang erat antara kumpulan tersebut dengan pengasas BapakkuFM, Isma Halil Hamzah.
Menurut Isma, penganjuran acara ini adalah bagi memenuhi perancangan yang sudah lama tertunda, sekali gus menjadi platform buat peminat tegar untuk mendekati kumpulan kegemaran mereka dalam suasana yang lebih intim.

“Ini sebenarnya atas dasar sahabat yang sangat kuat antara XPDC KPY dengan BapakkuFM semenjak zaman arwah Mail lagi. Kita memilih tarikh ini kerana kebetulan mereka mempunyai ruang dalam jadual seni mereka yang padat.
“Konsep kita kali ini bukan sekadar persembahan, tetapi lebih kepada ‘hadiah’ buat peminat. Dengan bayaran RM50, penonton bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan, malah disediakan hidangan bufet makan malam dan berpeluang beramah mesra dengan anggota kumpulan,” katanya.
Tambah Isma, majlis akan dimulakan dengan pengisian rohani menerusi majlis tahlil buat arwah-arwah pejuang seni sejurus selepas waktu Maghrib sebelum persembahan utama bermula pada jam 9.30 malam.
Sementara itu, pemain bass XPDC KPY, Zuar, menyifatkan kehadiran mereka di BapakkuFM sebagai satu ‘janji’ yang akhirnya tertunaikan.

“Ibarat membayar hutang lama kepada Isma. Kami merancang untuk memberikan persembahan yang terbaik dengan anggaran hampir 20 buah lagu merangkumi dua set persembahan.
“Walaupun dalam suasana santai, kami tetap tampil dengan konfigurasi full band lengkap dengan sistem bunyi dan pencahayaan yang mantap bagi memastikan peminat berpuas hati,” ujar Zuar.
Bagi menjamin keselesaan penonton, pihak penganjur mengehadkan kemasukan kepada 350 orang sahaja.

Peminat juga boleh mendapatkan barangan eksklusif (merchandise) XPDC KPY yang akan dibuka di tapak acara. Pas masuk boleh diperolehi dengan menghubungi talian 010-518 700.
XPDC KPY diterajui oleh Zuar selaku pemain bass, bersama Ary di posisi vokal, Jeff (gitar), dan Amy (dram).




