Peserta muda berbakat, Wan Ammar Haikal, 19, membuktikan kredibilitinya apabila dinobatkan sebagai juara program pencarian bakat, XO Camp Concert yang berlangsung di RuangRama, di sini, semalam.
Dianjurkan oleh X.O House , malam kemuncak tersebut menyaksikan Ammar yang juga anak kepada vokalis kumpulan Spring, Ameng, berjaya memikat hati juri menerusi persembahan tiga buah lagu termasuk lagu kemenangan, Kamelia.
Mengulas lanjut, Ammar mengakui tidak menyangka akan meraih gelaran juara memandangkan tumpuan utamanya adalah untuk menimba ilmu selepas menyertai program Talk To My Manager (TTMM) sebelum ini.

“Jujur saya katakan, saya masuk sekadar untuk berseronok dan belajar benda baharu. Di sini saya dapat cabaran berbeza, terutamanya apabila perlu membawakan lagu berentak balada yang menuntut kawalan pentas yang lebih teliti.
“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya malam ini walaupun bapa tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen kerja di Sarawak,” jelasnya.
Menjawab dakwaan mengenai kelebihan memihak kepadanya, Ammar menegaskan penilaian dilakukan secara telus oleh juri profesional tanpa sebarang unsur berat sebelah.
“Mungkin ada yang nampak itu sebagai kelebihan, tetapi sebenarnya ramai peserta lain yang jauh lebih hebat walaupun tidak pernah keluar televisyen. Contohnya seperti Fariq dan Arian; vokal dan persembahan mereka sangat luar biasa dan saya sendiri rasa tercabar,” katanya lagi.
Mengenai perancangan masa depan, Ammar merancang untuk fokus kepada kerjaya solo bagi tahun 2026, namun tetap mengutamakan bidang pelajaran yang sedang diikuti ketika ini.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif XO House Sdn Bhd, Adib Hamdi berkata, penganjuran XO Camp Concert bertujuan untuk memberi platform kepada bakat baharu untuk belajar selok-belok industri muzik secara praktikal.

“Di XO House, misi kami adalah untuk memperkasakan bakat muda agar mereka tidak hanya menjadi penyanyi rakaman, tetapi juga figura yang memiliki jenama peribadi yang kukuh.
“Melihat kualiti persembahan malam ini, saya sangat berbangga dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh semua peserta. Kami komited untuk terus menyediakan ekosistem yang menyokong aspirasi artistik mereka,” katanya ketika ditemui selepas acara tersebut.
Kemenangan Ammar mengetepikan saingan sengit daripada kumpulan XO Jr yang menduduki tempat kedua, manakala peserta solo, Fariq, sekadar berpuas hati di tempat ketiga.




