Ikuti Kami:

WWC 2025 Mohon Maaf, Janji Penganjuran Patuh Undang-Undang & Selamat

WWC 2025 Mohon Maaf, Janji Penganjuran Patuh Undang-Undang & Selamat

Penganjur Warzone World Championship 2025, En. Yusof Azmi (kanan) bersama Penasihat Undang-Undang Warzone, Datuk Wan Azmir Wan Majid (kiri) pada sidang media rasmi WWC 2025 hari ini.

Penganjur Warzone World Championship 2025 (WWC 2025) tampil menjernihkan salah faham yang timbul berhubung acara berkenaan dengan menzahirkan permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat serta menegaskan komitmen untuk memperkukuh prosedur dan pematuhan undang-undang bagi memastikan kejohanan itu berjalan lancar serta beretika.

Menurut penganjurnya, Yusuf Azmi, kekeliruan yang timbul berpunca daripada kelemahan komunikasi dan promosi awal yang menimbulkan persepsi negatif seolah-olah WWC adalah perlawanan bebas atau ganas.

Sehubungan itu, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh dan telah mengambil langkah segera bagi memperbetulkan keadaan.

“Kami akui terdapat kekurangan dalam komunikasi awal yang mungkin menimbulkan salah faham terhadap mesej acara ini. Warzone bukan medan pergaduhan, sebaliknya platform seni tempur profesional yang menekankan nilai disiplin, keberanian dan kesukanan,” katanya pada sidang media rasmi WWC 2025 hari ini.

Yusuf menjelaskan, pihak penganjur telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk tujuan pendaftaran dan pematuhan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Selain itu, siri perbincangan bersama agensi berkaitan serta pihak keselamatan tempatan turut diadakan bagi memastikan setiap aspek penganjuran mematuhi garis panduan dan peraturan ditetapkan.

“Kami komited memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, termasuk jika diperlukan audit atau semakan lanjut. Fokus utama kami adalah memastikan Warzone dijalankan secara sah, selamat dan profesional,” tambahnya lagi.

WWC 2025 turut memperkukuh aspek keselamatan dengan melaksanakan pemeriksaan kesihatan wajib bagi semua peserta, kehadiran pasukan paramedik dan ambulans di lokasi, pemeriksaan keselamatan di pintu masuk, serta pelaksanaan Protokol Sukan Selamat (Safe Sport Protocol) untuk melindungi peserta dan penonton daripada sebarang risiko.

Mengulas isu penyertaan kanak-kanak, Yusuf menjelaskan bahawa kategori khas “Junior” yang pada asalnya dirancang telah dimansuhkan bagi mematuhi pekeliling baharu Kementerian Belia dan Sukan yang tidak membenarkan atlet bawah 15 tahun menyertai pertandingan sukan tempur.

“Di kesempatan ini juga, kami ingin menjelaskan berkenaan penyertaan kanak-kanak atau peserta bawah umur dalam Warzone. Kami faham isu ini banyak diperkatakan oleh pelbagai pihak.

“Untuk makluman, WWC pada awalnya mempunyai kategori khas Junior yang tidak melibatkan perlawanan fizikal berisiko tinggi, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek seni, teknik, dan disiplin bela diri.

“Penilaian berdasarkan kemahiran teknikal, disiplin dan etika sukan, bukan kemenangan dalam perlawanan. Namun, kategori ini telah dimansuhkan dalam WWC seiring dengan pekeliling baharu Kementerian Belia dan Sukan tidak membenarkan atlet di bawah 15 tahun menyertai pertandingan sukan tempur,” tambah Yusuf.

Menurut Yusuf, WWC 2025 turut melibatkan panel juri dan wasit profesional dari pelbagai disiplin seperti Muay Thai, Silat, Taekwondo dan MMA, dengan sistem pemarkahan berpandukan piawaian antarabangsa bagi menjamin ketelusan dan keadilan keputusan.

Dengan tema “Medan Disiplin, Keberanian dan Kesukanan”, WWC 2025 dijangka menjadi platform baharu sukan tempur profesional yang berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Yusuf menegaskan bahawa pihaknya akan terus bertindak dengan penuh ketelusan, profesionalisme dan tanggungjawab, sambil menjadikan kritikan dan pandangan masyarakat sebagai panduan memperkukuh penganjuran.

“Kami percaya dengan bimbingan pihak berkuasa serta sokongan media dan masyarakat, Warzone World Championship 2025 akan menjadi kebanggaan negara, simbol disiplin, keberanian dan semangat kesukanan sebenar,” ujarnya.

Acara WWC 2025 akan tetap berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini bertempat di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan dengan jualan tiket kekal tersedia untuk peminat sukan tempur.

Komen
Loading...