Ikuti Kami:

‘Would You Leave Me Too?’ Single Mandarin Pertama Vanessa Reynauld

‘Would You Leave Me Too?’ Single Mandarin Pertama Vanessa Reynauld

Penyanyi berbakat Malaysia, Vanessa Reynauld, mengukir satu lagi pencapaian baharu dalam kerjaya seninya apabila mengumumkan pelancaran single Mandarin pertamanya, berjudul ‘Would You Leave Me Too?’, yang boleh mula didapati di semua platform penstriman utama bermula hari ini.

Pelancaran single ini menandakan langkah berani anak seni kelahiran Klang itu dalam memperluaskan kerjaya seninya menembusi dunia muzik Mandarin, terutamanya selepas penampilan beliau dalam program variasi muzik baharu dari China, The Voice Power.

Lagu ‘Would You Leave Me Too?’ dihasilkan sebagai balada yang menyentuh jiwa, menyelami tema cinta, kehilangan, dan kerapuhan hubungan sesama manusia.

Ia selari dengan gaya muzik signature Vanessa, menonjolkan kepelbagaian vokalnya daripada nada rendah yang lembut kepada nada tinggi yang bertenaga.

“Apabila penerbit bertanya jenis lagu yang saya mahukan untuk single Mandarin pertama saya, saya tahu ia mesti tentang cinta. Menjalinkan hubungan jarak jauh mengajar saya betapa pentingnya komunikasi.

“Apabila saya mendengar demo dan chorus yang bermula dengan ‘Would You Leave Me Too?’, saya terus dapat menyelaminya, bukan sahaja dalam percintaan, tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan,” kongsi Vanessa mengenai inspirasi lagu tersebut.

Lebih mendalam, Vanessa turut mendedahkan bahawa lagu ini adalah refleksi emosi tentang ketakutan perpisahan dan perubahan dalam hidup, termasuk keadaan kesihatan abang sulungnya yang menghidap sindrom Down serta usia ibu bapanya.

Dihasilkan oleh barisan pencipta lagu tempatan termasuk Hanz Koay, Shio dan Rooy Ang, lagu ini menggabungkan sentuhan piano yang lembut, disertai lapisan R&B dan akustik, menjadikannya karya paling peribadi Vanessa setakat ini.

Dengan pelancaran ‘Would You Leave Me Too?’, Vanessa bukan sahaja menyalurkan emosi tulus dalam muziknya, malah mengukuhkan reputasinya sebagai seorang pencerita yang memukau, sekali gus bersedia untuk mengukuhkan pengaruhnya di peringkat serantau.

Komen
Loading...