Ikuti Kami:

Wings Sedia Gegarkan Hard Rock KL Dan Melaka Dalam ‘Sunday Night Live’

Wings Sedia Gegarkan Hard Rock KL Dan Melaka Dalam ‘Sunday Night Live’

Kumpulan rock legenda tanah air, Wings, sedia melepaskan rindu para peminat tegar menerusi siri showcase eksklusif ‘Wings Sunday Night Live’ yang bakal menggegarkan ibu kota dan Melaka pada Julai depan.

Persembahan istimewa itu dianjurkan sebagai platform utama bagi mempromosikan album terbaharu mereka Wings New Era, sekali gus menyemarakkan kembali gelombang muzik rock tanah air.

Vokalis Wings, Datuk Awie, mendedahkan Wings bakal beraksi bertenaga selama satu jam setengah dengan seleksi sekitar 20 buah lagu, merangkumi rangkuman lagiu hit sepanjang zaman serta naskhah segar daripada album baharu.

“Kami mahu bawakan lagu-lagu yang jarang dimainkan atau lagu daripada album terdahulu seperti Keramat dan Menakluk Kosmos. Tapi kadang-kadang penonton lebih memilih lagu-lagu era 1988 hingga 1993 untuk dinyanyikan bersama (singalong).

“Kami mahu peminat pulang dengan rasa puas dan gembira, malah boleh menerima genre baharu yang kami bawakan bersama barisan anggota baharu ini. Generasi kami yang berusia 50-an dan 60-an ini sudah tenang, jadi kami mahu karya dirakam ini boleh menangkap cita rasa peminat lama dan juga orang muda,” katanya semasa sidang media di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai survival band yang kini mencecah usia 41 tahun dalam industri, Awie mengakui faktor usia adakalanya mendatangkan penat, namun kehadiran darah baharu dalam barisan pemuzik Wings meniupkan semula api perjuangan mereka.

“Dulu saya pernah letak had waktu (hard limit) untuk kerjaya saya. Tetapi bila fikirkan semula, kemasukan Ilham dan Pae membuatkan saya rasa ini satu perjuangan baharu yang harus diteruskan demi sahabat-sahabat lain. Insya-Allah, kalau kami boleh bertahan 10 tahun lagi atau lebih, itu satu rahmat,” katanya.

Siri ‘Wings Sunday Night Live’ dijadualkan berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 5 Julai 2026, diikuti Hard Rock Cafe Melaka pada 12 Julai 2026.

Dianjurkan dengan kerjasama Awie Entertainment bersama Hard Rock Cafe Kuala Lumpur serta mendapat sokongan padu RPM Label selaku pengurusan.

Tiket-tiket ditawarkan pada harga RM189 dan boleh ditempah secara dalam talian melalui Facebook Sayap Wings atau pembelian terus (walk-in) di Hard Rock Cafe.

Sempena showcase berkenaan, baju edisi terhad kolaborasi Hard Rock x Wings turut dijual pada harga RM180 sekeping.