Wings New Era: “Kami Tak Kejar Masa, Kami Cari Magis”- Dato’ Awie
- oleh MDaily Editor
- 23 May 2026 12:43 pm
Kumpulan rock legenda tanah air, Wings, tidak mahu terburu-buru dalam melengkapkan album terbaharu mereka, sebaliknya lebih selesa mengambil masa bertahun-tahun demi memastikan karya yang dihasilkan memiliki ‘magis’ dan kualiti yang tinggi.
Vokalis utamanya, Dato’ Awie menyifatkan proses pembikinan album yang sedang berjalan itu sebagai satu eksperimen besar yang tidak terikat dengan sebarang had masa atau tekanan komersial.
Menurut Awie, album yang diberi nama Wings New Era itu bakal diterbitkan dalam bentuk box set dan bakal memuatkan 20 buah lagu yang dibahagikan kepada dua konsep muzik yang kontras dalam satu naskhah.
Satu album bakal menyaksikan penglibatan maestro tersohor, Dato’ M. Nasir yang akan mengemudi genre Nusantara Rock, manakala satu lagi album akan dikendalikan oleh Edrie Hashim yang bakal membawa pengaruh New Metal bagi memenuhi cita rasa generasi masa kini.

”Kita nak buat eksperimen sebab dalam Malaysia rasanya belum ada lagi yang keluarkan ‘dua sentak’ (dua genre serentak). Kita nak create satu barang baru supaya sekali keluar, ada 20 lagu. Kita lantik Edrie sebagai pengarah muzik dan produser, manakala Dato’ M. Nasir untuk satu bahagian lagi,” jelas beliau.
Menjelaskan mengenai kolaborasi bersama M. Nasir, Awie berkata keutamaan mereka adalah untuk mendapatkan komposisi luar biasa yang sering menjadi identiti maestro tersebut secara spontan di studio.
Beliau mendedahkan bahawa Wings sanggup melupuskan 16 buah lagu yang telah siap dirakam sebelum ini semata-mata kerana mahu merakamkan semula karya yang lebih menepati jiwa dan konsep terbaharu mereka.
”Kita tak ada tetapkan had masa lagi, masih lagi tengah mendapatkan ‘magic’ daripada Dato’ M. Nasir. Kita tak perlu nak ‘rushing’ pun. Biarlah semua bekerja dengan elok. Saya bukan nak macam dulu, kena kejar masa. Kita tak ada apa-apa nak kejar dah, cuma nak cari masa dan lagu yang sesuai supaya bila orang dengar, mereka happy,” katanya.

Selain kekuatan melodi, Awie turut berkongsi mengenai evolusi penulisan lirik Wings yang kini lebih matang dan mendalam.
Mengakui sudah meninggalkan tema cinta romantis yang klise, album kali ini akan lebih banyak bercerita tentang tokoh sejarah dan mesej ketuhanan.
Antara tajuk lagu yang didedahkan termasuklah Khalifah Empat, Ibrahim, dan Ali, yang mana liriknya digarap oleh penulis tersohor seperti S. Amin Sahab serta lirik peninggalan Allahyarham Loloq.
”Kita lebih kepada lirik-lirik sejarah. Kita tak ada lagi dah kisah nama-nama perempuan. Mungkin kalau dengar macam cinta, tapi sebenarnya cinta Tuhan, puja Tuhan. Daripada dulu lagi macam lagu ‘Anugerah’ dan ‘Dari Tuhan’, kita memang ke arah itu,” tambahnya lagi.
Dalam rangka promosi album terbaharu itu, Wings akan mengadakan siri jelajah ‘Wings Sunday Night Live’ di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 5 Julai 2026, diikuti Hard Rock Cafe Melaka pada minggu seterusnya, 12 Julai 2026.
Tiket-tiket ditawarkan pada harga RM189 dan boleh ditempah secara dalam talian melalui Facebook Sayap Wings atau pembelian terus (walk-in) di Hard Rock Cafe.
