Ikuti Kami:

WINGS Berdepan Ujian Baharu, Black dan Eddie Umum Undur Diri

WINGS Berdepan Ujian Baharu, Black dan Eddie Umum Undur Diri

Kumpulan rock legenda tanah air, WINGS, berdepan satu lagi ujian besar apabila dua anggotanya, Azmi Hashim (Black) dan Samsaidi Ulong Idris (Eddie), mengumumkan pengunduran diri berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan media rasmi bertarikh 8 Oktober 2025, yang ditandatangani sendiri oleh kedua-dua mereka.

Dalam kenyataan tersebut, Black dan Eddie menyatakan keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam dan memaklumkan mereka tidak akan terbabit dalam “Konsert WINGS 40 Tahun Celebration” yang dijadualkan berlangsung pada 28 November di Kuala Lumpur dan 24 Disember di Singapura.

“Kami, Azmi bin Hashim atau dikenali sebagai Black Wings dan Samsaidi bin Ulong Idris atau dikenali sebagai Eddie Wings, telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari kumpulan WINGS berkuat kuasa serta-merta,” ujar kenyataan itu ringkas.

Bagi Black, ini bukan kali pertama beliau meninggalkan Wings. Pada tahun 1990, selepas pelancaran album Teori Domino, beliau pernah mengundurkan diri sebelum kembali lima tahun kemudian untuk album Orang Asing (1995). Kini, pada usia 59 tahun, Black sekali lagi mengambil langkah untuk berpisah daripada kumpulan legenda itu.

Sementara itu, situasi berbeza dialami Eddie pemain bass yang telah setia bersama Wings sejak 1985. Dalam tempoh hampir empat dekad, inilah kali pertama beliau meninggalkan kumpulan yang begitu sinonim dengan namanya.

Dengan pengunduran dua anggota teras tersebut, Wings kini diterajui Datuk Awie (vokal), Syam (gitar utama) dan Edrie (gitar irama), menandakan bermulanya era baharu buat kumpulan rock berpengaruh itu.

Pengunduran dua figura penting itu mencetuskan persoalan mengenai hala tuju WINGS menjelang konsert ulang tahun ke-40 mereka yang amat dinanti-nantikan peminat.

Kedua-duanya merupakan tonggak utama yang menyumbang kepada identiti dan keunikan bunyi kumpulan rock lagenda itu sejak era kegemilangan mereka pada 1980-an.

Setakat ini, pihak pengurusan dan anggota lain kumpulan WINGS belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut mengenai punca sebenar pengunduran berkenaan atau pelan gantian untuk konsert akan datang.

Langkah Black dan Eddie ini sekali gus menandakan satu bab baharu dalam perjalanan karier muzik mereka, sementara peminat WINGS di seluruh negara menanti perkembangan terkini daripada kumpulan yang sudah lebih empat dekad bertahan dalam industri muzik tanah air.

Foto Oleh: Sayap-Sayap Wings.

Komen
Loading...