Ikuti Kami:

Winds of Glory AM:PM: Amir Masdi, SPWinds Bersatu di Pentas Konsert Mega

Winds of Glory AM:PM: Amir Masdi, SPWinds Bersatu di Pentas Konsert Mega

Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara orkestra sekolah terbaik negara apabila bakal tampil dalam sebuah konsert mega, “Winds of Glory AM:PM” bersama penyanyi rock popular, Amir Masdi.

Kerjasama strategik itu bertujuan memperkasa kemenjadian murid melalui pendedahan kepada dunia muzik profesional, selain menjadi platform persediaan bagi SPWinds sebelum bersaing di peringkat antarabangsa pada kejohanan World Music Contest (WMC) 2026 di Kerkrade, Belanda, Julai depan.

Presiden Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) SPWinds, Shah Rizal Jazib berkata, penglibatan Amir Masdi merupakan satu pencapaian penting bagi memperkukuh visi artistik orkestra tersebut.

“Keutamaan kami adalah pembangunan holistik murid. Kolaborasi ini bukan sahaja memperkayakan bakat mereka tetapi juga mencerminkan sinergi antara pihak sekolah, ibu bapa melalui PIBG dan komuniti dalam membentuk murid yang berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, SPWinds melakar sejarah apabila merangkul Anugerah Emas di World Orchestra Festival ke-11 di Vienna pada tahun 2025, yang menjadi bukti keberkesanan ekosistem pendidikan seni di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Amir Masdi menzahirkan rasa bangga kerana dapat menyokong perjalanan seni pemuzik muda melalui penganjuran konsert sulungnya bersama orkestra itu.

“Dedikasi dan disiplin para pemuzik muda SPWinds amat menginspirasikan. Saya berharap dapat memberikan sumbangan bermakna dalam perjalanan mereka menuju ke pentas antarabangsa,” jelas penyanyi yang terkenal dengan vokal mantap itu.

Konsert “Winds of Glory AM:PM” juga berfungsi sebagai inisiatif pengumpulan dana bagi menampung kos penyertaan ke Belanda. Semua hasil kutipan konsert akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung pembangunan SPWinds.

Tiket konsert akan mula dijual kepada orang ramai pada 30 Januari 2026, jam 3.00 petang melalui laman web https://www.myticketempire.com/windsofglory dengan harga bermula RM178 hingga RM378.

Pihak penganjur turut mengalu-alukan sumbangan daripada individu serta tajaan pihak korporat bagi membantu merealisasikan impian pelajar-pelajar ini mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Foto Oleh: Papadin.

Komen
Loading...