White Shoes & The Couples Company Dan NonaRia Warnai Malam ‘Senandung Ria’ Di Ibu Kota
- oleh MDaily Editor
- 19 Feb 2026 4:26 pm
Peminat muzik berjiwa retro dan jazz-pop bakal dihidurkan dengan konsert istimewa ‘Senandung Ria Di Kuala Lumpur’ yang menampilkan gabungan dua kumpulan popular Indonesia, White Shoes & The Couples Company (WSATCC) dan NonaRia, pada 10 Mei depan.
Konsert yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu menjanjikan satu kembara muzik sarat nostalgia yang menggabungkan elemen romantik dan keanggunan estetika merentas generasi.
Bagi kumpulan NonaRia, persembahan itu merupakan kemunculan sulung mereka di ibu negara bagi berkongsi nuansa jazz-pop kontemporari yang sering disifatkan manis dan bersahaja menerusi lagu-lagu seperti Santai, Masa Mudaku, dan Ambang Rindu.
Anggota kumpulan itu, Nesia Ardi berkata, keterujaan untuk tampil buat pertama kali di Kuala Lumpur adalah satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama menerima permintaan daripada peminat di Malaysia.
“Kami sangat teruja kerana ini kali pertama NonaRia berkongsi muzik secara langsung di Kuala Lumpur. Kami tak sabar bertemu peminat dan berharap semua dapat bergembira dan melupakan sejenak kesusahan hati,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, kumpulan ikonik WSATCC yang terkenal dengan identiti pop vintaj dan susunan muzik sinematik, bakal kembali ke pentas Malaysia selepas kali terakhir membuat persembahan di sini pada tahun 2011.
Kumpulan yang popular dengan lagu Senandung Maaf dan Vakansi itu dijangka membawa penonton menyelami lirik puitis mereka yang kekal relevan merentasi zaman.
Dalam pada itu, wakil penganjur ZS Entertainment, Muhammad Nur Anizam berkata, penganjuran konsert itu bertujuan mengangkat nilai seni dan emosi dalam setiap lagu bagi memberikan pengalaman persembahan yang intim serta berkelas.
“Kami gembira dapat membawa kedua-dua kumpulan ini ke Malaysia. Konsert ini dijangka menjadi malam yang penuh nostalgia, sesuai untuk semua yang menghargai keindahan melodi dan susunan muzik halus,” jelasnya.
Konsert ‘Senandung Ria Di Kuala Lumpur’ dianjurkan bersama Lampuneon Entertainment selaku promoter rasmi dengan tawaran harga tiket bermula RM200 sehingga RM450.
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web www.myticketempire.com atau layari laman Instagram rasmi penganjur untuk maklumat lanjut.




