
Hampir tiga dekad menyepi daripada pentas utama, kumpulan rap legenda tanah air 4U2C akhirnya kembali dengan konsert eksklusif WE 4U2C yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September ini.
Konsert yang mengangkat tema Bringin’ Back Da 90’s Flava ini bakal menjadi titik permulaan kepada kemunculan semula kumpulan yang pernah mencipta fenomena dalam arena hip-hop Malaysia era 90-an.
Ia dijangka bukan sahaja mengubat rindu peminat setia, malah memberi peluang kepada generasi baharu untuk menyaksikan sendiri keunikan persembahan mereka.
Menurut Datuk AC Mizal, salah seorang anggota 4U2C, konsert ini menjadi realiti hasil ilham isterinya Datin Emylia Rosnaida sebelum ditawarkan oleh penganjur Juss Event Sdn. Bhd. Beliau menyifatkan peluang tersebut sebagai detik yang amat dinantikan.
“Konsert ini sudah lama saya impikan. Idea ini datang daripada isteri saya sendiri dan kemudian pihak Juss Event tampil dengan tawaran yang tepat pada masanya. Saya dan rakan-rakan janji akan memberikan persembahan terbaik kepada peminat yang hadir malam itu,” katanya.
AC turut menegaskan bahawa matlamat utama konsert ini bukan semata-mata untuk mencipta sejarah baharu, sebaliknya menjadi platform untuk membuktikan bahawa artis tempatan juga mampu tampil setaraf dengan bintang antarabangsa.
“Kami bukan mahu cipta sejarah semata-mata tetapi mahu bawa semula semangat lama dan jadi trendsetter. Dulu kami tampil berbeza menyanyi dan menari dan kami akan teruskan identiti itu. Kami mahu buktikan bahawa dalam Malaysia pun ada artis berkualiti yang bukan sekadar menyanyi tetapi juga menghibur sepenuhnya,” jelasnya.
Sempena konsert ini, 4U2C turut akan melancarkan tiga single baharu yang menampilkan sisi segar kumpulan tersebut. Satu lagu berentak balada dan dua lagi mengikut trend muzik semasa bagi menarik minat pendengar baharu.
“Lagu-lagu baharu ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mendekati generasi sekarang. Saya harap lagu-lagu ini boleh dinyanyikan bersama peminat sewaktu konsert nanti,” ujar AC.
Selain AC, 4U2C dianggotai oleh Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam. Konsert kali ini juga menyaksikan kolaborasi dengan pengarah muzik tersohor Aubrey Suwito yang bakal mengetuai barisan pemuzik profesional bagi menjayakan persembahan berskala besar ini.
WE 4U2C dianjurkan oleh Juss Event Sdn. Bhd. dengan sokongan tajaan daripada Millennium Group. Giant Malaysia tampil sebagai rakan aktivasi runcit manakala Uncle Jack merupakan rakan makanan dan minuman rasmi.
Stesen radio Era, Sinar, Gegar dan Mix menjadi rakan radio rasmi dengan Astro Gempak sebagai rakan media digital.
Tiket konsert akan mula dijual bermula 30 Jun menerusi platform Ticket Empire dan Fantopia dengan harga antara RM155 hingga RM555 untuk tingkat bawah dan RM255 hingga RM505 bagi tingkat atas. Kaedah bayaran fleksibel seperti Atome, Pay Later by Grab dan Shopee Pay Later turut ditawarkan.
Maklumat lanjut mengenai konsert boleh diperoleh melalui laman web dan media sosial rasmi Juss.Events manakala perkembangan terkini 4U2C boleh diikuti di Instagram dan TikTok kumpulan tersebut.