Watak ‘Tikus’ dalam Sheriff Bawa Tuah, Elizabeth Tan Dicalonkan di FFM33
- oleh Mohd Indera
- 6 bulan lalu

Penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan mencuri perhatian apabila dicalonkan dalam kategori Top 5 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), berkat lakonannya sebagai watak antagonis dalam filem Sheriff: Narko Integriti.
Elizabeth melakonkan watak Jennifer Wong, seorang pegawai korup di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang ditugaskan untuk menyiasat kes pembunuhan bersiri dikenali sebagai “Meth Killer.”
Namun, watak Jennifer sebenarnya adalah ‘tikus’ utama kepada Tony Ifrit, seorang dalang jenayah dadah terkenal, yang mencabar sisi berbeza dari perwatakan lembut yang sering dikenali oleh peminatnya.
Elizabeth, 31, mengakui bahawa pencalonan ini merupakan satu kejutan besar.
“Saya tak sangka watak antagonis yang saya lakonkan dalam Sheriff akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan juri. Ini adalah hadiah yang sangat bermakna dan di luar jangkaan,” katanya.
Meskipun dikenali sebagai seorang penyanyi, Elizabeth menyifatkan pencalonan ini sebagai pengiktirafan terhadap dirinya sebagai pelakon.
“Sebagai pelakon, saya ingin mencabar diri saya keluar dari zon selesa. Pencalonan ini memberi saya peluang untuk membuktikan bahawa saya bukan hanya seorang penyanyi, tetapi juga seorang pelakon yang dihargai dalam industri,” tambahnya.
Elizabeth turut meluahkan rasa terhormat apabila dicalonkan bersama pelakon-pelakon hebat lain.
“Saya sangat kagum dengan calon lain dalam kategori ini. Mereka semua hebat, dan berada di kalangan mereka adalah satu penghormatan besar bagi saya,” katanya.
Walaupun mengakui saingan sengit, Elizabeth menegaskan bahawa yang penting adalah meraikan kejayaan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran FFM33.
“Menang atau kalah bukan hal yang utama. Apa yang lebih penting adalah kita semua merayakan kejayaan dan usaha keras dalam industri seni,” katanya.
Festival Filem Malaysia ke-33 yang mengetengahkan tema Evolusi Sinema Malaysia akan disiarkan secara langsung pada 7 Disember ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.