Watak Fizi Animasi Upin Dan Ipin Didakwa Guna Dialog Sensitif, Dikecam Netizen Malaysia Dan Indonesia
- oleh Mohd Indera
- 5 tahuns lalu
Di dalam kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, animasi popular tempatan iaitu Upin & Ipin kini heboh menjadi bualan di media sosial. Ini semua gara-gara episod terkini animasi tersebut yang menampilkan dialog yang dianggap tidak menjaga sensitiviti anak-anak yatim piatu.
Di dalam episod Kompilasi Episod Raya Upin & Ipin yang dimuatnaik di laman YouTube rasmi Les’ Copaque itu, menceritakan sambutan hari raya Upin & Ipin bersama rakan-rakan. Watak Fizi yang merupakan rakan karib kepada pasangan kembar itu telah menimbulkan rasa kurang senang penonton ketika hampir di penghujung cerita.
Semua itu kerana dialog yang diucapkan Fizi yang menyinggung perasaan ramai terutamanya golongan anak yatim seperti pasangan kembar itu. Fizi dilihat menyinggung perasaan pasangan kembar itu dengan memberitahu tiada syurga buat mereka yang tidak mempunyai ibu.
Ini adalah susulan daripada kenyataan Mail yang sebelum itu berceritakan bagaimana syurga seseorang anak itu berada di bawah telapak kaki ibu. Dialog Fizi itu dilihat tidak menjaga sensitiviti kanak-kanak yang lain dan menimbulkan kemarahan penonton di Malaysia dan juga Indonesia.
Susulan itu, Instagram rasmi Upin & Ipin kini menerima tempiasnya apabila dihujani dengan komen-komen negatif daripada netizen. Rata-rata mereka yang menonton episod tersebut tidak berpuas hati dengan ‘kebiadapan’ Fizi di dalam situasi itu.
Menyedari dialog daripada watak Fizi itu telah menyinggung perasaan ramai, Les’ Copaque telah memberikan permohonan maaf mereka menerusi laman Instagram tersebut. Di dalam perkongsian itu, mereka memberitahu dengan kapsyen “Gara-gara video ini, Fizi kini dibenci. Maafkanlah Fizi.”