WarnaRAYA x KLCC: Angkat Bakat Pereka Tempatan ke Pentas Bertaraf Dunia
- oleh MDaily Editor
- 17 Feb 2026 12:21 am
Penganjuran WarnaRAYA x Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) – Runway & Bazar 2026 dilihat menjadi batu lonjakan utama dalam mengangkat martabat pereka fesyen tempatan ke pentas bertaraf dunia yang sinonim dengan acara global.
Dikonsepsikan oleh jenama Warnabilla, platform bertemakan warna ini bukan sekadar sebuah tapak jualan, malah merupakan satu ekosistem imersif yang menggabungkan elemen fesyen, kecantikan dan gaya hidup kontemporari dalam menyambut ketibaan Syawal.

Pengasas Warnabilla, Ms. Nabilah Nordin berkata, pemilihan KLCC sebagai lokasi acara selama dua hari itu bertujuan memberi ruang kepada jenama tempatan untuk beraksi di persekitaran profesional, sekali gus meningkatkan nilai penjenamaan mereka.
“WarnaRAYA diwujudkan untuk meraikan Hari Raya dengan cara yang lebih peribadi dan ekspresif. Melalui platform ini, kami mahu mewujudkan ruang di mana pereka dapat berkongsi kisah mereka secara autentik dan pengunjung dapat merasai pengalaman raya melangkaui transaksi jual beli semata-mata,” katanya.
Beliau menambah, gabungan antara pentas peragaan profesional dan bazar jualan membolehkan inspirasi fesyen yang dilihat di ‘runway’ diterjemahkan terus kepada pembelian, sekali gus menyokong ekonomi kreatif tempatan.
Sementara itu, Pengurus Besar KLCC, Encik John Burke berkata, kolaborasi itu mencerminkan komitmen pusat konvensyen berkenaan dalam menyokong inisiatif kreatif yang dekat dengan masyarakat, di samping acara korporat antarabangsa yang sedia ada.

“Acara ini menghimpunkan fesyen dan komuniti dalam satu pengalaman yang bertenaga serta relevan secara budaya. Ia membolehkan kami mengangkat bakat tempatan dengan cara yang baharu dan bermakna,” jelasnya.
Acara yang berlangsung pada 14 dan 15 Februari itu menampilkan sehingga 10 pereka fesyen yang membawakan interpretasi busana raya masing-masing, bermula daripada rekaan moden sopan sehingga persalinan yang lebih berani dan berkarakter.




