‘Warna Warni Hari Raya’ Taruhan Baharu Ushera, Gabung Elemen Klasik Dan Moden
- oleh MDaily Editor
- 20 Feb 2026 2:21 am
Penyanyi yang sinonim dengan imej retro moden, Ushera, kembali mewarnai industri muzik tanah air menerusi pelancaran lagu raya ketiganya bertajuk Warna Warni Hari Raya.
Karya terbaharu itu menyaksikan Ushera atau nama sebenarnya Nona Ushera, tampil dengan eksperimentasi muzik yang menggabungkan elemen malar segar dengan sentuhan ‘jiwa’ segar yang lebih kontemporari.
Bercakap kepada media dalam satu sesi khas di Vida Bukit Ceylon di sini pada Isnin lalu, Ushera menjelaskan bahawa penghasilan lagu ini bertujuan memberi pilihan variatif kepada pendengar di tengah-tengah kerancakan trend lagu raya yang kembali memuncak.
“Kali terakhir saya menghasilkan lagu raya adalah pada tahun 2021 menerusi Kembali. Melihat kepada penerimaan baik peminat terhadap karya yang bersifat segar dan mudah diterima, ia mendorong saya untuk melahirkan Warna Warni Hari Raya.
“Saya mahu menjadi sebahagian daripada ‘warna warni’ sambutan raya tahun ini dengan karya yang boleh menyentuh hati seluruh generasi,” katanya pada sidang media berkenaan.
Lagu tersebut turut menerima sentuhan emas Ushera sendiri selaku penulis lirik, manakala komposer berpengalaman Ganesh Bala bertindak sebagai penerbit bagi menterjemahkan melodi yang menepati piawaian suasana bulan mulia.

Mengulas mengenai liriknya, Ushera menjelaskan beliau memilih pendekatan yang bersahaja agar ia mudah diingat dan ‘melekat’ di hati pendengar, namun tetap mengekalkan kualiti produksi yang tinggi.
Selain kekuatan melodi, projek kali ini turut memperlihatkan kolaborasi strategik bersama pereka busana terkenal, Syomir Izwa Gupta, bagi memastikan aspek visual dan estetika persembahan selari dengan getaran (vibe) warna-warni yang ingin disampaikan.
Manifesto Warna Warni Hari Raya juga mengangkat tema keberagaman dan semangat masyarakat majmuk Malaysia menerusi pembabitan karyawan seni daripada pelbagai latar belakang bangsa, termasuk pengarah video Arnaud Blondel yang mengemudi pembikinan video muzik (MV) lagu berkenaan.
“Hari raya adalah waktu untuk kita mengetepikan sentimen lama, berkumpul bersama dan bergembira. Inilah mesej persahabatan yang ingin saya sampaikan menerusi lagu ini,” tambah beliau.
Muzik video Warna Warni Hari Raya telah mula menemui peminat di laman YouTube secara rasmi sejak 16 Februari lepas, manakala audio boleh didengari di platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music.
Sebelum ini, Ushera pernah mencuri tumpuan menerusi album Semalam Di Malaya (2016) yang mengangkat irama asli dan klasik, selain lagu raya terdahulu iaitu Suka Ria Raya (2017) dan Kembali (2021).




