Warna Lebaran 2026: Ariani Sasar Jualan 300,000 Busana Raya, Perkenal 400 Variasi Hijab
- oleh MDaily Editor
- 29 Jan 2026 12:17 pm
Jenama fesyen Muslimah terkemuka, Ariani, mengukuhkan dominasinya dalam pasaran pakaian perayaan dengan menyasarkan jualan sebanyak 300,000 helai busana sedia pakai (RTW) sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Sasaran itu disokong menerusi pelancaran koleksi Warna Lebaran Ariani 2026 yang menampilkan lebih 600 rekaan terkini, termasuk 400 variasi hijab yang menggabungkan elemen moden dan klasik.
Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Seri Farah Haryani berkata, koleksi tahun ini memberi penekanan kepada simbol keanggunan dan kebersamaan, selain memenuhi cita rasa pelbagai lapisan umur daripada bayi sehingga dewasa.

”Persalinan baju raya bukan sekadar pakaian, tetapi lambang kegembiraan dan kenangan bermakna yang diraikan bersama keluarga. Tahun ini, kami menyediakan pilihan yang sangat luas dengan penggunaan hampir 10 jenis material premium bagi memastikan keselesaan maksimum buat pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pertunjukan Fesyen Warna Lebaran Ariani 2026 yang berlangsung gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Trend Warna Strawberry Matcha & Teal
Menyentuh mengenai trend tahun ini, Ariani mengetengahkan rona-rona tular seperti Strawberry Matcha, Teal, dan Lime Green yang disesuaikan dengan motif flora serta cetakan abstrak kontemporari.
Selain koleksi utama, sub-jenama pakaian lelaki, Aryan, turut memperkenalkan pelakon berkaliber, Bront Palarae sebagai duta baharu bagi memperagakan seleksi baju Melayu sedondon, kurta, dan jubah.
Bagi peminat gaya eksklusif, Ariani meneruskan kerjasama tahun kedua bersama gedung fesyen ikonik London, Liberty London. Kolaborasi itu menyaksikan 16 cetakan eksklusif yang menggabungkan estetika antarabangsa dengan potongan tradisional warisan budaya Malaysia.
Turut mencuri tumpuan ialah penampilan pelakon popular, Elly Mazlein sebagai muse bagi segmen Ariani Luxe yang menampilkan koleksi hijab premium dengan perincian French lace dan kristal Swarovski.
Selain Elly, barisan duta tetap seperti Lisa Surihani, Bella Dally, dan Uyaina Arshad turut memeriahkan pentas peragaan bersama wajah baharu Ariani RTW Premium, Fyza Kadir.
Semua koleksi Warna Lebaran 2026 kini boleh didapati di butik fizikal Ariani termasuk cawangan baharu di KLGCC, serta platform dalam talian bersempena Jualan Pra-Ramadan dan Jualan Mega Lebaran yang bermula sekarang.




