Ikuti Kami:

Warisan Tenun Iranun Jadi Inspirasi Koleksi Cipela

Warisan Tenun Iranun Jadi Inspirasi Koleksi Cipela

Warisan tenun masyarakat Iranun Sabah mendapat perhatian apabila jenama aksesori kasut premium tempatan, Cipela, tampil dengan koleksi berinspirasikan kain Dastar pada acara CIMB Artober Art & Soul di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC).

Koleksi yang dipersembahkan bukan sekadar mengetengahkan keindahan tekstil tradisional, tetapi juga berfungsi sebagai simbol kesinambungan budaya, pemberdayaan ekonomi dan aspirasi membawa warisan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Pengasas Cipela, Hidayah Hassan, berkata penyertaan itu bukan sekadar mempamerkan fesyen tetapi usaha mengangkat seni warisan ke pentas kontemporari.

“Hari pertama saya mengasaskan Cipela, impian saya hanya satu menjadikan warisan bangsa bukan sekadar khazanah yang dipelihara, tetapi sesuatu yang boleh dipakai dan disarung dengan bangga. Menampilkan Dastar di CIMB Artober membuktikan hasil tangan wanita Sabah setanding dengan karya global,” katanya.

Menurut Hidayah, projek kali ini lebih bermakna kerana dilaksanakan bersama pelabur dan komuniti.

“Buat pertama kali saya tidak lagi bergerak seorang diri. Kedua-dua pelabur bersama dari peringkat akar umbi, bertemu artisan di lapangan, berhubung dengan Yayasan Hasanah hingga ke persediaan bersama pasukan CIMB Artober,” katanya.

Beliau menambah, impak pameran itu bukan sahaja kepada Cipela, tetapi juga kepada generasi muda.

“Apabila anak muda melihat hasil tangan nenek moyang mereka dipamerkan di pentas besar, mereka sedar warisan boleh dijadikan sumber ekonomi dan identiti yang membanggakan,” katanya.

Pelabur Cipela, Bibi Rafidah Mohd Amin, pula menjelaskan penglibatannya berpunca daripada rasa tanggungjawab terhadap warisan negeri kelahirannya.

“Sebagai anak jati Sabah, saya mahu melihat hasil seni nenek moyang kita dihargai. Tenunan Dastar bukan sahaja indah tetapi mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Seorang lagi pelabur, Haslinda Hussein, menekankan kepentingan strategi dan jaringan korporat dalam memperkukuh Cipela di pasaran.

“Pelaburan kami bukan sekadar modal kewangan, tetapi keyakinan terhadap visi Cipela. Saya percaya dengan gabungan seni dan inovasi, jenama ini boleh bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, berkata sokongan mereka melalui Dana Perusahaan Sosial Hasanah dengan kerjasama Kementerian Kewangan adalah usaha berterusan memelihara seni warisan.

“Kain Dastar bukan sekadar tekstil warisan penuh maruah; ia adalah medium pemberdayaan ekonomi dan perayaan budaya. Artisan tidak dilihat sebagai penerima ihsan, tetapi sebagai usahawan impak yang membentuk industri,” katanya.

Dengan sokongan Yayasan Hasanah, Cipela kini berupaya melatih lebih ramai penggiat kraftangan, memperkukuh komuniti artisan serta memastikan warisan tenun Iranun terus hidup dan diraikan hingga ke peringkat antarabangsa.

Komen
Loading...