Kejadian hakisan di kawasan tanah perkuburan Kampung Pengkalan Maras, Kuala Terengganu, baru-baru ini bukan sahaja mengundang rasa pilu penduduk, tetapi turut mencetuskan kejutan apabila kain kafan seorang jenazah yang telah dikebumikan 12 tahun lalu ditemui masih dalam keadaan elok.
Menurut seorang waris, penemuan itu berlaku semasa usaha mengalihkan jenazah akibat hakisan yang melanda kawasan perkuburan tersebut.
“Tidak sangka, walaupun sudah 12 tahun ibu meninggal dunia, kain kafannya masih elok dan utuh terikat,” katanya.
Memetik Bernama, insiden tersebut terjadi selepas lima jenazah, termasuk tiga yang masih berkain kafan, dihanyutkan ombak besar pada Sabtu.
Penduduk kampung menyedari kejadian itu selepas menemui serpihan kain kafan, tulang, dan batu nisan yang terbawa arus ke pantai.
Menurut Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mohd Isshamuddin, lebih 200 kubur perlu dipindahkan segera berikutan ancaman hakisan yang semakin serius.
“Benteng yang dibina lima tahun lalu sudah tidak mampu menahan kekuatan ombak, manakala kawasan perkuburan baharu sering digenangi air, menyukarkan jenazah dipindahkan ke tempat lain,” ujarnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor, turut memaklumkan lapan lagi kubur akan dialihkan dalam masa terdekat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Kisah ini bukan sahaja menonjolkan isu hakisan tanah perkuburan, tetapi turut menjadi pengajaran rohani kepada masyarakat untuk terus menghayati kebesaran Ilahi.