Warga Emas Berusia 80 Tahun Didenda RM1,000 Adalah Pesalah Berulang
- oleh Mohd Indera
- 5 tahuns lalu
Tular di media sosial perkongsian gambar seorang warga emas yang didenda RM1,000 selepas melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Warga emas yang berusia 80 tahun itu dikatakan menerima denda itu semasa sedang menunggu bantuan makanan tiba.
Warga emas dikenali sebagai Mr. Li itu menunggu di kawasan berhampiran dengan sebuah restoran pada Sabtu (11 April) untuk mendapatkan bantuan makanan. Dia kemudian didatangi oleh anggota polis yang memberikan denda tersebut selepas gagal mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Anuwal Abdul Wahab mengesahkan perkara ini ketika menjawab tentang bayaran kompaun yang dikeluarkan terhadap seorang yang dikenali sebagai “Mr. Li”, berusia 80 tahun yang merupakan salah satu daripada dua lelaki itu.
Kompaun yang diberikan kepada mereka ini adalah sebagai satu pengajaran bahawa PKP adalah sesuatu yang perlu dipandang serius. Denda yang dikenakan juga tidak meletakkan faktor umur sebagai halangan ditambah pula golongan berusia seperti mereka adalah lebih berisiko untuk menerima jangkitan COVID-19.
Warga emas itu dikatakan akan duduk di situ untuk bersembang pada setiap hari. Pihak polis juga sudah berkali-kali memberikan amaran menggunakan loud hailer supaya beredar balik dan patuhi PKP. Warga emas itu akan beredar apabila pihak polis tiba memberikan amaran tetapi akan kembali semula untuk ‘melepak’ selepas pihak polis tiada di situ.
Menurut penduduk setempat, Mr. Li tinggal bersendirian di sebuah rumah usang. Kebiasaannya, dia akan melakukan pekerjaan seperti menoreh getah, bercucuk tanam, atau apa-apa saja pekerjaan demi meneruskan hidupnya. Perkara ini turut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Kewangan Buddha Ayer Kuning, Encik Li Junmin.
Sebelum ini juga, sekumpulan lima lelaki telah ditahan di restoran yang sama ketika sedang menjamu selera. Namun untuk kejadian terbaru ini, hanya dua warga emas ini sahaja yang didapati melanggar arahan PKP. Orang ramai dinasihatkan untuk kekal mengikuti arahan yang dikeluarkan sehingga fasa ketiga PKP selesai.