Jabatan Imigresen hari ini membuat serbuan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Pasar Borong Selayang.
Serbuan dilakukan bermula 9.00 pagi dengan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Bagaimanapun, pengamal media yang berada di lokasi kejadian sejak pagi tadi tidak dibenarkan merakam sebarang gambar mahupun video di kawasan itu.
Menerusi laporan media, beberapa trak milik PDRM dan Jabatan Imigresen dipercayai membawa pendatang tanpa izin dilihat keluar dari kawasan itu dan difahamkan membawa semua tahanan itu ke depoh tahanan sementara.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim pula memaklumkan pihak polis berada di lokasi itu bagi membantu Jabatan Imigresen melaksanakan operasi berkenaan.
Sementara itu Timbalan Menteri Wilayah Dato’ Sri Dr. Santhara di hantaran laman Facebook nya memaklumkan penguatkuasaan undang-undang terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin terus dijalankan di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur.
“Mereka yang tidak berdokumen akan dibawa ke depot tahanan Imigresen setelah ujian COVID-19 menunjukkan keputusan negatif sebelum pengusiran dibuat
“Bagi mereka yang memegang Kad UNHCR pula akan disemak status kesahihan taraf pelarian mereka. “, katanya
Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan mendengar keluhan rakyat yang sudah muak dengan permasalahan PATI, oleh yang demikian tindakan konsisten terhadap PATI diambil bagi membasmi mereka dari menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak dibenarkan.
Dengan tindakan berterusan dari agensi – agensi berkuasa ini akan membersihkan KL dari penguasaan ekonomi oleh PATI dan membuka peluang kepada warga tempatan untuk berniaga atau bekerja.
“Kuala Lumpur harus dikembalikan kepada rakyat Malaysia dan kami mahu rakyat terus menyokong kami bagi menjayakan misi ini” kata nya lagi.
BACA : Malaysia Berdepan Cabaran Baharu, Kes Libatkan Warga Asing Semakin Meningkat – KP Kesihatan